Keadaan Toyota Avanza dipandu Nik Nabilah yang terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di kilometer (KM) 35.5 Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu, dekat Lembah Bidong. FOTO IHSAN POLIS
Keadaan Toyota Avanza dipandu Nik Nabilah yang terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di kilometer (KM) 35.5 Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu, dekat Lembah Bidong. FOTO IHSAN POLIS
Zaid Salim


Setiu: Peniaga wanita maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 35.5 Jalan Kuala Terengganu - Kota Bharu, dekat Lembah Bidong, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, nahas jam 12.50 tengah hari itu menyebabkan mangsa, Nik Nabilah Nik Abdul Ghaffar, 36, dari Padang Luas, Jerteh, Besut yang memandu Toyota Avanza meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Katanya, dua lagi kenderaan yang terbabit dalam kejadian itu membabitkan sebuah lori dan bas persiaran.

"Nik Nabilah meninggal dunia di tempat kejadian manakala anaknya, Wan Muhammad Aqil Wan Zulkhairi, 16, yang duduk di tempat duduk belakang luka tangan kanan manakala pemandu dan kelindan serta pemandu bas persiaran tidak mengalami kecederaan," katanya di sini hari ini.

Mohd Zain berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Besut menghala ke Wakaf Tembesu, Kuala Terengganu manakala lori dan bas persiaran dari arah bertentangan.

Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu wanita terbabit hilang kawalan sebelum bergesel pada bahagian sisi belakang sebelah kanan lori.

"Dalam masa yang sama, kenderaan dipandu mangsa turut bertembung dengan bahagian hadapan sebelah kanan bas.

"Mangsa yang maut dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk tindakan lanjut manakala Wan Muhammad Aqil dihantar ke hospital sama untuk rawatan," katanya.

Menurut Mohd Zain, dua kenderaan lagi iaitu lori yang dipandu lelaki berusia 28 tahun bersama seorang kelindan berusia 57 tahun dalam perjalanan dari Bukit Payong, Marang menghala ke Pengkalan Chepa, Kelantan.

Katanya, bas persiaran yang dipandu lelaki berusia 51 tahun pula dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Nerus menghala ke Jeti Merang, di sini.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2024 @ 9:46 PM