Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyerahkan surat keputusan kewarganegaraan kepada penerima adiik, Muhammad Danish Haiqal Abdul Rahman sambil diperhatikan oleh Pengerusi Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM), Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah (kiri) di Flat Sri Kelantan, Sentul. FOTO ASWADI ALIAS
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyerahkan surat keputusan kewarganegaraan kepada penerima adiik, Muhammad Danish Haiqal Abdul Rahman sambil diperhatikan oleh Pengerusi Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM), Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah (kiri) di Flat Sri Kelantan, Sentul. FOTO ASWADI ALIAS
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), hari ini, dipanggil Majlis Raja-Raja untuk membentangkan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan kewarganegaraan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mengesahkan perkara itu berkata, pembentangan berkenaan membuahkan suatu perkara yang positif.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan hasil pembentangan itu bagi menghormati langkah selanjutnya oleh Majlis Raja-Raja.

Saifuddin berkata, ketika ini KDN juga akan memberatkan usul serta cadangan yang diberikan oleh Suhakam.

"Dalam pertemuan dengan Pengerusi Suhakam dua hari lalu, saya berpeluang untuk menerangkan mengenai butir cadangan dan pindaaan berkenaan malah pihak mereka juga turut memberi cadangan balas.

"Antara persetujuan kami ialah permohonan warganegara yang perlu diadakan prosedur operasi standard (SOP) yang sebelum ini, ia tidak diangkat," katanya selepas menyampaikan surat kelulusan permohonan warganegara kepada kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun, Muhammad Haiqal Abdul Rahman di Flat Sri Kelantan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Bulan Sabit Merah Malaysia Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah.

Ditanya mengenai kertas cadangan yang diberikan Gabungan Hak Kewarganegaraan Malaysia (MCRA), Saifuddin berkata, beliau sudah melihat isi kandungan kertas berkenaan.

"NGO berkenaan mengangkat sembilan perkara dengan cadangan balas yang mempunyai pelbagai teknikal antaranya seperti permaustautin tetap.

"Apa pun saya sedia mendengar dan akan mengadakan perbincangan termasuklah memberi pandangan. Malah saya sendiri tidak akan menutup pintu kepada sesiapa jua yang mahu memberi pandangan dalam isu ini," katanya.

Beliau turut meminta badan bukan kerajaan yang memperjuangkan isu itu supaya memberikan data mengenai angka sebenar kanak-kanak 'stateless' untuk dipadankan dengan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Sementara itu menyentuh mengenai Muhammad Haiqal penerima surat kelulusan permohonan warganegara hari ini, Saifuddin berkata pihak JPN mengambil tindakan selepas mendapat maklumat mengenai ibu kandung kanak-kanak itu yang masih boleh dihubungi.

"Ibu kanak-kanak ini mempunyai lapan anak dan kesemuannya diserahkan menjadi anak angkat tetapi tidak mempunyai dokumen warganegara. Malah si ibu juga tiada kad pengenalan sejak sekian lama.

"Kita selesaikan sudah kad pengenalan si ibu dengan membuat pendaftaran lewat dan bila ia selesaikan, barulah kelapan-lapan anaknya termasuk adik Haiqal diberi kelulusan untuk permohonan. Kita selesaikan dahulu punca isu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2024 @ 9:21 PM