Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Tiga individu masing-masing dikompaun RM25,000 selepas memuat naik komen yang bersifat lucah melalui aplikasi media sosial Facebook.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan berkata, semua individu berkenaan dikenakan tindakan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Hasil siasatan SKMM mendapati, kandungan yang dimuat naik pada platform media sosial ketiga-tiga individu berkenaan membabitkan komen lucah yang ditujukan kepada bayi kepada seorang doktor.

"Penggunaan perkataan lucah itu ditulis di ruangan komen sebuah portal hiburan yang menerbitkan satu artikel berkenaan amalan khatan bayi perempuan di United Kingdom (UK)," katanya.

Menurutnya, Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 melarang pembuatan atau penghantaran komunikasi yang antara lain bersifat jelik, lucah atau sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati, atau mengganggu orang lain yang mana sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

"SKMM ingin mengingatkan orang ramai bahawa perbuatan mengeluarkan kata- kata jelik dan menjijikkan, atau dalam kes ini kata-kata yang bersifat seksual tentang alat sulit bayi perempuan, adalah satu tindakan yang tidak bermoral dan melanggar undang-undang.

"Orang ramai diseru untuk sentiasa berwaspada sebelum memuat naik atau berkongsi sebarang kandungan terutamanya kandungan yang membabitkan kanak-kanak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2024 @ 9:10 PM