GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


Kuching: Dua lagi suspek kes merusuh dan mencederakan pengawal keselamatan di sebuah kolej di sini, pada 19 Jun lalu, ditahan polis Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, dua suspek terbabit adalah lelaki tempatan berusia 34 dan 40 tahun.

Beliau berkata, penahanan dua suspek berkenaan menjadikan jumlah yang ditahan setakat ini seramai empat orang.

"Kedua-dua suspek itu ditahan oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pada 22 Jun lalu di Jalan Penrissen di sini dan polis masih mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas.

"Hasil pemeriksaan mendapati tiga daripada suspek mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah kekerasan, dadah dan perjudian dalam talian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahsmon berkata, saringan air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah methaphetamine dan amphetamine.

Beliau berkata, kesemua suspek dituduh di Mahkamah Kuching, hari ini atas kesalahan dengan sengaja menyebabkan cedera dengan menggunakan senjata.

"Kesemua suspek dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara atau denda atau mana-mana daripada itu," katanya.

Bagaimanapun, difahamkan tiada pengakuan direkodkan daripada semua suspek.

Menurutnya, kesemua suspek juga dituduh mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan pencerobohan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara atau denda atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 7:01 PM