Menteri Pengangkutan, Anthony Loke ketika sidang media selepas berucap di Mesyuarat Agung Tahunan ke-4 Persatuan Pengusaha Pusat Latihan Memandu Malaysia di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke ketika sidang media selepas berucap di Mesyuarat Agung Tahunan ke-4 Persatuan Pengusaha Pusat Latihan Memandu Malaysia di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Mohd Iskandar Ibrahim

Putrajaya: Kementerian Pengangkutan memberi amaran keras kepada mana-mana kenderaan asing supaya mematuhi undang-undang jalan raya di Malaysia susulan pelaksanaan Permit Masuk Kenderaan (VEP) mulai 1 Oktober ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kerajaan tidak akan sesekali melakukan 'pusingan U' dan serius untuk melaksanakan peraturan berkenaan.

"Bermula 1 Oktober, VEP akan dikuatkuasakan. Mesejnya adalah jelas, saya berharap pemandu dari Singapura yang kerap masuk ke Malaysia, perlu patuh kepada undang-undang dan peraturan ditetapkan.

"Jika sebelum ini mereka (kenderaan dari Singapura) yang ada banyak saman, sukar untuk kita kesan. Jadi dengan pelaksanaan VEP, mana-mana kenderaan asing yang masuk ke Malaysia dan melanggar undang-undang kita, mereka perlu bayar saman sebelum meninggalkan negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pengusaha Pusat Latihan Memandu Malaysia Ke-4 di sini, hari ini.

Kerajaan sebelum ini menetapkan bermula 1 Oktober depan, semua kenderaan asing dari Singapura diwajibkan mempunyai VEP.

Peraturan itu akan dikuat kuasakan untuk pintu masuk di kedua-dua kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Johor iaitu di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Tambak Johor dan di Bangunan Sultan Abu Bakar di Link Kedua Malaysia-Singapura.

Penguatkuasaan VEP itu bertujuan memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi sepenuhnya peraturan jalan raya di Malaysia.

Ditanya mengenai rungutan segelintir pemilik kenderaan dari Singapura yang mendakwa mereka sukar mendaftar VEP terutama dalam kalangan pemilik kenderaan terpakai, Loke berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berusaha menyelesaikan sebarang masalah berbangkit.

"Sebaik kita meneliti kesulitan dihadapi itu, kita akan buat pengumuman nanti dan Bahagian Darat (kementerian) serta JPJ sedang menangani isu ini. Saya sendiri akan pergi ke Johor untuk membuat pemeriksaan nanti.

"Akan ada pengumuman yang dibuat nanti terutama dari segi penambahbaikan. Kita akan berusaha menangani dan memudahcarakan tetapi jangan harap kita buat pusingan U," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 4:41 PM