V Papparaidu
V Papparaidu
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Individu yang sedang mencari pekerjaan disaran hadir ke Program Karnival Kerjaya Jobcare yang akan dianjurkan kerajaan negeri di Dewan Dato' Abdul Hamid, Batang Kali pada Sabtu ini.

Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu berkata, program ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan Selangor untuk menyokong pencari kerja dan mempromosikan peluang pekerjaan dalam komuniti.

"Program Karnival Kerjaya Jobcare ini akan menampilkan pelbagai syarikat dari pelbagai industri yang akan membuka kaunter bagi memperkenalkan kekosongan jawatan terkini dan memberikan maklumat terperinci mengenai syarikat mereka.

"Ini adalah peluang unik bagi warga Selangor yang mencari pekerjaan berinteraksi secara langsung dengan majikan berpotensi, mengetahui tentang laluan kerjaya yang

berbeza, dan mencari peluang pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran dan minat mereka," katanya tadi.

Beliau berkata, program ini bertujuan untuk mempercepatkan proses pengambilan pekerja dan memudahkan penempatan kerja segera bagi calon yang layak.

Katanya, terdapat juga sesi temu duga kerja yang akan dijalankan sepanjang hari justeru orang ramai digalakkan untuk membawa salinan resume dan bersedia untuk temu duga segera.

"Kerajaan negeri menjemput semua ahli masyarakat yang mencari pekerjaan untuk

menghadiri Program Pameran Kerjaya ini.

"Ia adalah peluang yang baik untuk berhubung dengan pelbagai majikan dan meneroka pelbagai peluang pekerjaan yang terdapat di rantau ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 4:25 PM