RUMAIZI (kiri) sambil disaksikan Sandrea Ng Shy Chin (dua kiri)  pada majlis penyerahan Bangunan Dewan Bandaran kepada Majlis Bandaraya Ipoh (Ipoh). FOTO L Manimaran
RUMAIZI (kiri) sambil disaksikan Sandrea Ng Shy Chin (dua kiri) pada majlis penyerahan Bangunan Dewan Bandaran kepada Majlis Bandaraya Ipoh (Ipoh). FOTO L Manimaran
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menafikan menutup jalan di Kampung Batu Baru Menglembu Timur, Menglembu, di sini, sehingga meresahkan penduduk kampung itu.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, ini kerana jalan berkenaan masih di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan belum diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Menurutnya, penguatkuasaan struktur haram di atas rizab jalan juga bukan di bawah perundangan PBT, sebaliknya bidang kuasa Pejabat Daerah dan Tanah (PDT).

"Kita (MBI) belum dapat penyerahan jalan itu lagi. Maknanya masih lagi di bawah tanggungjawab kerajaan negeri kerana ianya belum diserahkan.

"Tetapi kita sedang berunding dengan kerajaan negeri untuk mempercepatkan proses penyerahan dan barulah kita boleh ambil tindakan penguatkuasaan.

"Kalau kita baca undang-undang, perkara tentang struktur haram ini bukan di bawah perundangan PBT, sebaliknya di bawah undang-undang tanah yang tertakluk di bawah kuasa kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Majlis Ramah Mesra Datuk Bandar Ipoh Bersama Ketua Biro Media 2024 di Hotel M Roof, di sini, petang semalam.

Semalam, Harian Metro melaporkan 10 keluarga di kampung berkenaan berdepan masalah bekalan air serta ketiadaan kemudahan asas lain termasuk jalan berturap dan longkang sejak enam tahun lalu.

Wakil penduduk mendakwa masalah itu sebelum ini pernah dirujuk kepada Menteri Besar dan Exco kerajaan negeri yang berkaitan, selain kepada PDT dan MBI, namun sehingga kini tidak menemukan titik penyelesaian.

Kawasan itu pada asalnya aalah penempatan setinggan, namun diiktiraf sebagai kampung kekal sejak Julai 2018 dengan dipecahkan kepada 80 lot bagi pembinaan rumah.

Ketika ini, sebanyak 70 lot masih 'kosong' atau belum diduduki susulan isu kemudahan asas berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 3:57 PM