JOOHARI (kanan) beramah mesra dan memperkenalkan diri kepada peniaga dan pengunjung yang merupakan pengundi. FOTO Danial Saad
JOOHARI (kanan) beramah mesra dan memperkenalkan diri kepada peniaga dan pengunjung yang merupakan pengundi. FOTO Danial Saad
Siti Aminah Mohd Yusof


Bayan Lepas: Jentera Barisan Nasional (BN) akan bekerja keras termasuk mendekati pengundi atas pagar bagi membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap ini.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pendekatan turun padang bertemu pengundi terutama pengundi atas pagar amat penting untuk menjelaskan isu-isu semasa kepada golongan itu.

"Kita kena buat kerja, kena turun (padang) kalau yang mungkin atas pagar, kita merayu seperti yang ketahui bahawa BN mempunyai strategi (dan), pendekatan terbaik (adalah) turun ke bawah dengan peranan mendekati rakyat.

"Paling mustahak ialah mendekati mereka (pengundi) menjelaskan isu yang ada. Maka, kalau itu dapat kita lakukan, isu-isu yang mungkin mereka tertanya-tanya itu akan dapat diperjelaskan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Sesi Dialog Menteri Pendidikan Tinggi dengan Industri Elektrik & Elektronik, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Zambry yang juga Pengarah Pilihan Raya BN berkata, momentum kempen PRK Sungai Bakap antara parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan juga berada pada tahap paling baik.

"Saya melihat momentum yang pertama sekali ialah dari segi hubungan di antara parti sangat mustahak. Kedua, hubungan dalaman yang kita nak menentukan iaitu daripada segi gerak kerja pada peringkat politik.

"Alhamdulillah, semangat yang ditunjukkan antara BN dan PH begitu baik sekali. Hubungan dalaman kami sendiri pada peringkat BN itu sendiri merupakan yang terbaik," katanya.

Beliau turut memaklumkan, semua rakan parti komponen BN menyatakan akan bekerja bersama dan membantu kempen calon PH bagi memastikan kemenangan.

"Kali ini kita tidak dengar umpamanya ada daripada parti komponen yang kata tak mahu kerja. Semuanya menyatakan dengan sejelas-jelasnya bahawa mereka akan bekerja membantu untuk memastikan kemenangan calon Kerajaan Perpaduan, Cikgu Joohari.

"Daripada segi persiapan jentera, saya lihat khususnya dalam konteks BN, persiapan begitu baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 3:32 PM