GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Segamat: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan menyokong dan memiliki bahan berkaitan pengganas Daesh.

Hasbullah Hassan, 45, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rahimah Abd Majid, namun tiada pengakuan direkodkan berikutan bidang kuasa terletak di bawah Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memberi sokongan kepada Daesh dengan cara mempromosikan kumpulan pengganas itu menerusi media sosial Facebook menggunakan akaun bernama Hasbullah Hassan.

Perbuatan itu dikesan pada 9 pagi di Bahagian E8 Counter Terrorism Cawangan Khas, Tingkat 24 Menara Dua Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kuala Lumpur pada 23 Mac 2023.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 40 tahun atau dengan denda jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Hasbullah didakwa memiliki bahan iaitu video, gambar dan barangan yang mempunyai kaitan dengan perlakuan perbuatan pengganas Daesh dan didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan.

Kesalahan itu dilakukan pada 12.30 tengah hari di Felda Palong Timur Tiga, Batu Anam di sini, 30 Mei lalu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mat Radzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 24 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan laporan pakar dan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh selaras dengan Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 11:28 AM