MOHD Shukri (berkopiah putih) mendengar perkhabaran terkini keadaan Nuraleya Syazreena Roslan Anuar daripada Exco Kesihatan negeri, Megat Hashirat Hassan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar. FOTO Ihsan Pejabat Mb Perlis
MOHD Shukri (berkopiah putih) mendengar perkhabaran terkini keadaan Nuraleya Syazreena Roslan Anuar daripada Exco Kesihatan negeri, Megat Hashirat Hassan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar. FOTO Ihsan Pejabat Mb Perlis
Aizat Sharif


Kangar: Kerajaan Perlis akan melaksanakan penebangan pokok di seluruh negeri ini yang dianggap tidak kukuh dan selamat dari segi strukturnya susulan kejadian pokok tumbang yang mencederakan suami isteri di Simpang Empat di sini, Ahad lalu.

Menteri Besar Mohd Shukri Ramli berkata, laluan sepanjang Jalan Tengku Budriah di Tambun Tulang-Simpang Empat didapati mempunyai banyak pokok yang dianggap tidak kukuh dari segi strukturnya.

"Oleh itu, kita kita sudah menanda tanda merah pada pangkal pokok (tidak selamat) ini untuk kita tebang dan buang.

"Perlu juga saya ingatkan di sini bahawa, kita bukanlah mahu menebang pokok ini kerana mahu mengurangkan kehijauannya tetapi ini adalah disebabkan keselamatan kerana ada beberapa pihak dari organisasi pencinta alam menelefon saya yang membantah penebangan pokok terutama di laluan berkenaan," katanya.

Beliau ditemui di perkarangan Hospital Tuanku Fauziah di sini, semalam, selepas melakukan lawatan bagi meninjau perkembangan suami isteri, Nuraleya Syazreena Roslan Anuar, 18 dan suaminya, Muhammad Danish Hakim Hanizam, 18, yang parah dihempap pokok di jalan di Kampung Padang Benta, Simpang Empat di sini, Ahad lalu.

Mohd Shukri berkata, selain keguguran dan pendarahan dalam kepala, Nuraleya Syazreena juga turut mengalami patah tulang belakang kiri, manakala Muhammad Danish yang membonceng motosikal berkenaan pula patah tulang paha kaki kanan.

Katanya, Nuraleya Syazreena masih ditidurkan oleh doktor untuk rawatan lanjut di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 8:17 AM