NURUL Nadia dan suami, Muhammad Sakhawi Shah Ariffin bersama anak mereka.
NURUL Nadia dan suami, Muhammad Sakhawi Shah Ariffin bersama anak mereka.
Oleh Redzuan Muharam


Kuala Kangsar: Sudah dua tahun Nurul Nadia Muhamad Padl tidak mendengar suara apatah lagi gelak tawa suaminya yang kini terlantar akibat Arteriovenous fistulas (AVF) dan hidrosefalus atau sakit saraf otak serta lebihan cecair dalam kepala.

Meskipun begitu, Nurul Nadia, 28, tetap setia berada di sisi Muhammad Sakhawi Shah Ariffin, 31, malah tidak pernah terlintas akan meninggalkan suaminya itu.

Bagi Nurul Nadia, apa pun terjadi dia tetap akan bersama suaminya dan tabah demi membesarkan dua zuriat mereka yang kini berusia empat serta tujuh tahun.

Bercerita lanjut, Nurul Nadia berkata, suaminya pernah bertugas sebagai kerani di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, sebelum direhatkan dan tamat perkhidmatan pada Mac lalu.

Menurutnya, keadaan kesihatan suaminya banyak berubah selepas dia menunjukkan simptom awal penyakit iaitu kerap sakit kepala serta muntah pada 2020.

"Suami pada asalnya normal, malah boleh berjalan macam biasa, namun penyakit dialami menyebabkannya jadi begitu sejak 14 Mei 2022.

"Simptom penyakit itu menyerangnya ketika saya hamil anak kedua dan menyangka suami kena alahan sebelum doktor maklum saluran saraf otaknya tersumbat bila ke hospital.

"Pada peringkat awal iaitu pada 2020 dan 2021 masih baik, tapi lama-kelamaan tidak hingga pernah buat pembedahan VP Shunt (prosedur membuang lebih cecair di kepala) di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

"Ikutkan, banyak kali juga suami pernah diintubasi dan paling lama sebulan, malah saya pun pernah enam bulan menjaganya di wad," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menceritakan perasaannya, Nurul Nadia mengakui terlalu sedih selepas doktor memberi pengesahan mengenai penyakit suaminya dan melihat cinta hatinya itu terlantar.

"Sebagai isteri, sudah tentu saya sedih dan ada masanya down sangat tapi tinggal dengan keluarga, jadi mereka banyak beri kata semangat.

"Urusan menjaga suami juga dipermudahkan kerana keluarga akan bantu jaga dan pantau (suami) terutama waktu saya keluar hantar anak ke sekolah.

"Setakat ini, anak sulung faham, cuma yang bongsu ambil masa kerana waktu awal dulu, dia pun menangis bila tengok ayahnya, tapi sekarang tak lagi," katanya.

Nurul Nadia berkata, selain menjaga dan menguruskan keperluan harian, dia turut berbual-bual sewaktu duduk di sebelah suaminya.

Bukan setakat itu, Nurul Nadia juga cuba mencipta sebanyak mungkin memori dengan salah satunya memakaikan suaminya persalinan raya ketika Aidilfitri dan Aidiladha lalu untuk bergambar bersama.

"Kalau sembang dengannya, suami tak dapat respons, cuma bila bercakap pasal anak, saya nampak dia menangis.

"Saya tahu dia dengar dan faham, cuma tak dapat bercakap. Sebagai isteri, saya tak henti berdoa mengharap suami cepat sihat dan boleh panggil nama saya serta anak.

"Walaupun harapan itu seakan tipis namun mana tahu, dengan izin Allah SWT, suami kembali sembuh," katanya.

Di sebalik ujian ditempuhinya, Nurul Nadia sedar dia tidak boleh terlalu bersedih kerana ramai yang senasib, malah ada lebih teruk keadaannya.

"Saya tahu hal itu kerana apabila kongsi di TikTok, ramai yang senasib hantar kiriman mesej...ceritakan pengalaman mereka.

"Ada juga kongsi cerita di ruangan komen dan sebagai isteri, saya cuba kuat dan setia dengan suami...tidak hanya ketika senang, namun juga ketika waktu susah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 7:31 AM