PENDUDUK, Azmi Abd Razak (kanan) dan Mohd Zukir Jusoh menunjukkan parit besar yang tidak berpagar yang mengundang bahaya kepada masyarakat. FOTO GHAZALI KORI
PENDUDUK, Azmi Abd Razak (kanan) dan Mohd Zukir Jusoh menunjukkan parit besar yang tidak berpagar yang mengundang bahaya kepada masyarakat. FOTO GHAZALI KORI
Oleh Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan mengetengahkan isu ketiadaan pagar keselamatan di kawasan parit dari Kampung Pok Par hingga Kampung Merbau Patah, dekat sini, dalam mesyuarat dengan pihak berkaitan bagi tindakan lanjut.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Datuk Rosli Latif berkata, secara amnya parit besar sejauh kira-kira lima kilometer itu bukan diselaraskan oleh MBKT.

Bagaimanapun, katanya, isu itu akan dibangkitkan pada mesyuarat tindakan daerah yang akan diadakan kelak supaya tindakan lanjut boleh diambil.

"Isu ketiadaan lampu jalan di laluan itu juga kita akan bangkitkan pada mesyuarat berkenaan.

"Kita minta penduduk supaya berhati-hati ketika menggunakan laluan berkenaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan kebimbangan lebih 1,000 penduduk berhubung ketiadaan pagar keselamatan di kawasan parit Kampung Pok Par hingga Kampung Merbau Patah, dekat sini.

Ini susulan parit sejauh lima kilometer itu dibina tanpa pagar, sekali gus membahayakan penduduk yang menggunakan laluan berkenaan, terutama penunggang motosikal.

Dalam pada itu, Rosli berkata, laluan berkenaan bukannya jalan utama, tetapi digunakan oleh penduduk daripada beberapa kampung.

Katanya, penduduk setempat sudah biasa menggunakan laluan itu dan mereka lebih biasa dengan situasi itu.

"Jadi, kita berharap isu ini dapat diselesaikan segera bagi keselesaan penduduk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 7:01 AM