Anggota bomba memadamkan kebakaran dua unit kilang pembuatan papan tanda di Jalan Metro Perdana 12 Kepong, di sini, yang musnah terbakar. FOTO Ihsan Bomba
Anggota bomba memadamkan kebakaran dua unit kilang pembuatan papan tanda di Jalan Metro Perdana 12 Kepong, di sini, yang musnah terbakar. FOTO Ihsan Bomba
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kilang pembuatan papan tanda musnah dalam kebakaran di Jalan Metro Perdana Barat 12, Kepong di sini, hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kejadian pada 5.18 petang.

Komander Operasi Kanan Mohamad Iqbal Zakaria berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, operasi pemadaman turut mendapat bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Manjalara, Sri Hartamas dan Hang Tuah dengan kekuatan keseluruhan 34 anggota.

"Kebakaran membabitkan dua unit bangunan kilang industri kecil dan sederhana dua tingkat.

"Unit pertama terbakar 100 peratus di tingkat atas dan 50 peratus di tingkat bawah serta turut merebak ke unit bersebelahan yang menyebabkan terbakar 10 peratus di tingkat atas," katanya.

Beliau berkata, pasukan berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak sebelum operasi pemadaman sepenuhnya.

Bagaimanapun, katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 9:55 PM