Nurul Hidayah Bahaudin


Putrajaya: Bekas pensyarah antara lapan individu termasuk dua wanita yang ditahan selepas dipercayai terbabit dengan aktiviti ekstremis dan ideologi keganasan kumpulan pengganas Islamic State (IS).

Malah, penahanan mereka mendapati wujud ancaman terhadap Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri serta beberapa orang kenamaan (VIP) selain kepimpinan tinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, lapan individu berusia antara 25 hingga 70 tahun itu ditahan dalam serbuan di Johor, Kelantan, Pulau Pinang serta Selangor pada kelmarin dan semalam.

"Kesemua tangkapan ini adalah susulan penahanan yang dilakukan pada 15, 16 dan 30 Mei lalu.

"Mereka yang ditahan membabitkan pelbagai latar belakang dan status ekonomi termasuk bekas pensyarah berusia 70 tahun, penganggur serta suri rumah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain serta Timbalan Pengarah Cawangan Khas II Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Abdul Majid.

Ditanya sama ada tangkapan itu berkait dengan serangan Balai Polis Ulu Tiram, beliau memaklumkan pihaknya tidak mengaitkan perkara berkenaan.

"Kita takkan kait perkara itu kerana operasi dilakukan oleh Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman adalah usaha berterusan.

"Kesemua yang ditahan akan Kesemua suspek ditahan mengikut Bab VIA-Kesalahan-Kesalahan Berkaitan Keganasan, Kanun Keseksaan [Akta 574] dan akan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 [Akta 747]," katanya.

Beliau mengingatkan masyarakat supaya terus prihatin dan peka terhadap ancaman bentuk baharu oleh elemen ekstremis, radikalisme dan keganasan.

"Ketika ini, terdapat perkembangan teknologi moden yang menjadikan media sosial sebagai salah satu medium menyebarkan fahaman membahayakan.

"Justeru itu, kerajaan menegaskan bahawa tiada sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang menjadi penghasut, pelaku, penyokong dan pemberi simpati buat elemen ekstremis, radikalisme dan keganasan di negara ini.

"Pihak berkuasa tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang paling berat ke atas golongan terbabit," katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai, aktivis masyarakat, organisasi serta badan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta dan semua pihak bekerjasama menangani ancaman ini yang boleh menggugat perpaduan dan keamanan negara.

"Kerajaan memberi jaminan bahawa masyarakat tidak perlu gusar terhadap tahap keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini.

"Hal ini didorong oleh kecekapan dan ketangkasan PDRM menangkis ancaman ekstremis, radikalisme dan keganasan di peringkat awal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 5:13 PM