Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Ungkapan 'lembu kenyang' oleh seorang Ahli Parlimen pembangkang menggamatkan hari pertama sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Perkara itu disebut Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) ketika berbahas selepas Sesi Penerangan Penyasaran Semula Subsidi Diesel oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Radzi semasa berbahas mendakwa, kerajaan tidak mendengar rintihan rakyat di peringkat bawah.

"Kerajaan yang ada pada hari ini tidak mendengar apa yang rakyat sebut di bawah. Ini kerajaan lembu kenyang. Mereka tidak menyelami apakah sebenarnya yang dilalui oleh rakyat.

"Saya dengar penjelasan Menteri Kewangan II, berapa kali Menteri Kewangan II sebut tentang kebajikan rakyat, kita boleh dengar berapa banyak perbincangan tentang kebajikan. Di luar sana, impaknya besar.

"Perkara ini bukan boleh dibuat main. Bagaimana pula Budi dan Padu. Kalau dulu Menteri Ekonomi kata Padu akan digunakan, akhirnya tiba-tiba nak kena isi Budi pula. Ini kerajaan lembu kenyang. Tak nak dengar rintihan rakyat," katanya.

Kenyataan dibuat Radzi itu menyebabkan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) bangun mencelah dan memintanya menarik balik kenyataan dibuat.

"Tarik balik. Ini sangkaan jahat," katanya.

Bagaimanapun, Radzi tidak mengendahkan gesaan dibuat oleh Sim dan meneruskan ucapannya.

Semasa di akhir ucapan, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul kemudian meminta penjelasan ungkapan lembu kenyang dibuat oleh Radzi.

"Lembu kenyang ini kalau orang Kelantan kata, dia buat rileks, dia buat tak tahu. Orang kacau, orang cakap apa, dia buat tak dengar.

"Itulah yang saya nak sampaikan bahawa rakyat di bawah sana bercakap tentang tekanan dan kos (sara hidup) yang mereka hadapi.

"Tetapi kerajaan tidak bertindak, apa tindakan (kerajaan) kepada petani, yang bawa backhoe (jengkaut), escavator (jentolak) dan sebagainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 4:57 PM