Anthony Loke menyampaikan ucapan pada Program Penutup Pendidikan Kepimpinan Politik Herlead Wanita DAP hari ini. FOTO BERNAMA
Anthony Loke menyampaikan ucapan pada Program Penutup Pendidikan Kepimpinan Politik Herlead Wanita DAP hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Putrajaya: Isu berkaitan penyasaran subsidi diesel antara perkara yang dibincangkan dalam pramesyuarat bagi persidangan Dewan Rakyat Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 yang bermula esok hingga 18 Julai.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata selain isu itu, mesyuarat yang diadakan petang tadi di Seri Perdana turut membincangkan beberapa perkara berkaitan rang undang-undang (RUU) yang akan dibahaskan semasa sidang Parlimen.

"Ini mesyuarat yang biasa untuk setiap sidang Parlimen. Sudah tentu diberikan taklimat berkenaan isu-isu semasa, beberapa pembentangan RUU.

"Yang paling penting adalah penyasaran subsidi diesel, diberikan penerangan dan sebagainya kepada ahli-ahli Parlimen supaya mereka bersedia dalam perbahasan nanti di Parlimen dan juga apa agenda perundangan kita termasuklah beberapa pindaan undang-undang dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Program Pendidikan Kepimpinan Politik Anjuran Wanita DAP di sini hari ini.

Beberapa Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan turut hadir pada pramesyuarat itu yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bermula 4 petang, hari ini.

Antara ahli Parlimen yang kelihatan hadir ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Sementara itu, Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban menafikan Pas akan dijemput menyertai Kerajaan Perpaduan, susulan laporan media yang memetik Fahmi tidak mengesahkan mahupun menafikan khabar angin yang Pas akan menyertai gabungan Kerajaan Perpaduan.

"Tidak. Sebenarnya tak ada perbincangan soal Pas nak menyertai Kerajaan Perpaduan, mungkin saya rasa media telah salah erti apa yang dikatakan oleh Fahmi.

"Fahmi kata banyak perbincangan. Perbincangan itu antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri. Saya sendiri pun ada jumpa dengan pemimpin PAS, adakah saya jemput dia masuk Kerajaan Perpaduan?

"Tidak. Bukannya perbincangan pasal politik kita berjumpa, banyak perbincangan itu adalah bersifat G2G, iaitu antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri," katanya.

Khabar angin penyertaan Pas itu timbul pada Oktober tahun lalu namun dinafikan Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 9:39 PM