LAPORAN portal Harian Metrio sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metrio sebelum ini.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 57 laporan berhubung kes penipuan skim pelaburan mesin minuman layan diri membabitkan kerugian lebih RM5 juta, sejak tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, mana-mana individu yang menjadi mangsa penipuan skim itu digesa supaya tampil membuat laporan di balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

"Orang ramai juga dinasihatkan sentiasa berhati-hati dan mencari maklumat secukupnya sebelum mengambil keputusan untuk menyertai mana-mana skim pelaburan.

"Dapatkan pandangan dan nasihat agensi berkaitan dengan pelaburan seperti Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) sebelum melabur," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata, orang ramai juga boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 sekiranya mempunyai sebarang kebimbangan mengenai jenayah penipuan.

"Jangan membuat pelaburan secara membuta tuli. Ingatlah tamak haloba dan kejahilan adalah menjurus kepada kerugian," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan syarikat yang bekerjasama dengan sebuah yayasan terkenal didakwa melakukan penipuan skim pelaburan mesin minuman layan diri membabitkan kerugian RM1.8 juta.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim dilaporkan berkata, pihaknya sudah menerima 19 aduan daripada mangsa yang menyertai skim pelaburan itu sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.

Katanya, mangsa mendakwa mereka ditawarkan oleh syarikat terbabit pulangan dividen yang lumayan serta manfaat lain sekiranya menyertai pelaburan itu, sebaliknya mereka tidak menerima pulangan seperti dijanjikan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 8:26 PM