JASON berucap pada Program Kempen Kesedaran Alam Sekitar Waste To Wealth di sebuah pasaraya di Sungai Bakap. FOTO Bernama
JASON berucap pada Program Kempen Kesedaran Alam Sekitar Waste To Wealth di sebuah pasaraya di Sungai Bakap. FOTO Bernama
BERNAMA

Nibong Tebal: Dasar Pengasingan Sisa di Punca akan dikuatkuasakan semula di Pulau Pinang bermula bulan depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Jason H'ng Mooi Lye.

Beliau berkata dengan penguatkuasaan dasar itu, pihak yang didapati gagal mematuhinya boleh dikenakan tindakan saman sehingga RM500.

Dasar itu pernah dikuatkuasakan bermula 2017 namun terhenti disebabkan Covid-19 pada 2020.

"Menerusi dasar ini, kita dapat bersama-sama mencegah pencemaran alam sekitar dan menjaga keseimbangan ekosistem di samping mengurangkan penjanaan sisa di tapak pelupusan sampah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Kesedaran Alam Sekitar Waste To Wealth di sini hari ini.

Menurutnya kerajaan negeri melalui Penang Green Council, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah bekerjasama menghasilkan bahan kempen bagi memberi kesedaran kepada penduduk berhubung dasar berkenaan.

Justeru beliau menyeru penduduk negeri itu untuk melaksanakan pengasingan sisa di punca dalam usaha menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri hijau dan mampan menjelang 2030.

Mengenai Kempen Kesedaran Alam Sekitar Waste To Wealth, H'ng berkata ia bertujuan mendidik orang ramai berhubung cara menguruskan sisa menjadi sumber pendapatan atau memberi nilai nominal kepada sisa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 6:08 PM