GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Georgetown: Polis menahan lima lelaki warga Bangladesh, semalam bagi membantu siasatan kejadian culik melibatkan seorang lelaki senegara, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, kesemuanya yang berusia 20 hingga 35 tahun ditahan dalam serbuan di Shah Alam, Selangor hasil maklumat awam dan risikan.

"Pada Jumaat, polis menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 50-an yang bekerja sebagai tukang cuci di bandar raya ini memaklumkan bahawa dia menerima panggilan telefon daripada suspek meminta wang tebusan RM200,000 jika mahu anak lelakinya yang diculik selamat.

"Lelaki itu yang bimbang keselamatan anaknya telah membuat laporan polis selepas menerima panggilan terbabit," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Beliau berkata, bertindak daripada laporan itu dan siasatan dijalankan, polis menyerbu premis di Shah Alam dan menahan lima lelaki itu serta menyelamatkan mangsa.

Razlam berkata, mangsa yang berusia lingkungan 20-an ditemukan selamat dan dipercayai baru tiba di negara ini untuk mencari kerja.

"Berdasarkan siasatan awal, tukang cuci itu tidak mengetahui anaknya datang ke Malaysia dan hanya tahu selepas menerima panggilan telefon daripada suspek yang menuntut wang tebusan," katanya.

Kelima-lima lelaki terbabit, katanya kini direman empat hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, siasatan juga sedang dijalankan sama ada kejadian berkenaan melibatkan suspek lain atau rangkaian sindiket menculik warga asing.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 5:25 PM