Alias Abd Rani

Batu Pahat: "Saya reda jika dia sudah tiada tetapi sekurang-kurangnya saya nak sangat dijumpai. Saya nak tatap wajahnya buat kali terakhir," kata Berlian Jumaat, 64, ibu saudara Raud Darus @ Hamid, salah seorang mangsa bot nelayan karam di perairan Tanjung Segenting, Jumaat lalu.

Berlian yang menghidap barah payu dara berharap anak saudaranya ditemui secepat mungkin walaupun apa juga keadaan sekali pun.

"Khamis ini, saya dijangka menjalani pembedahan di HSNI (Hospital Sultanah Nora Ismail) dan berharap dia ditemui sebelum saya dimasukkan ke hospital.

"Kami tidak mengharapkan apa-apa pun, cuma nak dia dijumpai secepat mungkin. Kalau dia sudah tiada kami reda kerana ia ketentuan Ilahi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bumiputera Dalam, Rengit, hari ini.

Menurutnya lagi, kejadian menimpa anak saudaranya itu hanya diketahui pagi Jumaat selepas dia keluar ke pasar awam berdekatan kampung.

Katanya, sehari sebelum insiden itu, Raud datang ke rumah membawa hasil tangkapan untuk diserahkan kepadanya.

"Dalam pertemuan itu, dia beritahu mahu turun ke laut malam itu (Jumaat). Saya hanya mengiyakan dan berpesan supaya berhati-hati," katanya.

Berlian ketika ditemui di rumahnya Kampung Bumiputera Dalam, Rengit, hari ini. FOTO Alias Abd Rani
Berlian ketika ditemui di rumahnya Kampung Bumiputera Dalam, Rengit, hari ini. FOTO Alias Abd Rani

Dalam kejadian jam 6 pagi, bot dinaiki lima nelayan dilaporkan tenggelam selepas dibadai ombak kira-kira 6.8 batu nautika dari perairan Tanjung Segenting.

Hanya Tan Siak Bin, 43, terselamat dalam kejadian itu selepas ditemui nelayan lain yang kebetulan melalui lokasi kejadian.

Dua mangsa disahkan lemas setakat ini termasuk tekong, Chiah Kah Chong, 53, yang ditemui nelayan 7 malam semalam, manakala seorang lagi mangsa ditemui 11.30 pagi tadi.

Dalam pada itu, Berlian berkata, Raud menumpang kasih di rumahnya selepas kedua-dua ibu bapanya meninggal dunia beberapa tahun lalu.

Sejak itu, katanya, Raud yang juga anak kedua daripada lima beradik, tidak mempunyai keluarga terdekat melainkan dirinya.

"Saudara lain tinggal berjauhan, dia selalu datang rumah sama ada makan atau pun berehat. Saya anggap dia seperti anak sendiri, sebab itulah saya terasa apabila kehilangannya.

"Hari demi hari kami menanti dengan penuh harapan agar dia ditemui. Saya bercadang mahu ke pantai bagi membantu mencarinya, mana tahu dijumpai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 4:54 PM