ROKIAH mengemas rumahnya selepas dilanda ribut di Kampung Changhai. FOTO Wan Nabil Nasir
ROKIAH mengemas rumahnya selepas dilanda ribut di Kampung Changhai. FOTO Wan Nabil Nasir
Zuliaty Zulkiffli


Changlun: Seorang warga emas hanya mampu mengucap dua kalimah syahadah sebaik bumbung rumahnya di Kampung Changhai, di sini, diterbangkan angin dalam kejadian ribut, awal pagi hari ini.

Rokiah Musa, 74, berkata, dia tidak menyangka bumbung rumahnya itu diterbangkan angin sejauh kira-kira 200 meter ke kawasan sawah.

"Saya tak sempat berbuat apa-apa tetapi hanya mampu mengucap dua kalimah syahadah sebaik melihat kejadian itu," katanya ditemui di rumahnya, di sini.

Rokiah berkata, ribut itu melanda kira-kira jam 2 pagi dan ketika itu, dia masih belum tidur.

Katanya, ketika kejadian, dia berada di ruang tamu rumah sebelum terdengar deruan angin kuat.

"Saya terkejut apabila bumbung di ruang tengah dan dapur terangkat serentak dan pada masa itu, saya hanya teringat untuk mengucap dua kalimah syahadah.

"Selepas itu saya bersama seorang anak dan cucu perempuan berlindung di bilik," katanya.

Menurutnya Rokiah, selepas keadaan kembali reda, dia keluar melihat keadaan rumah dan mendapati kesemua bumbung di ruang tengah dan dapur sudah 'hilang'.

Katanya, bumbung di ruang tengah rumahnya itu terjatuh di tepi rumah, selain ada kepingan zink ditemukan tersangkut di atas pokok kelapa setinggi kira-kira 10 meter selain berselerak di sawah.

"Saya bersyukur kerana kami sekeluarga selamat," katanya.

Seorang lagi mangsa, Haziana Abdul Hamid, 58, yang juga peniaga di Jalan Sintok, berkata, bumbung premis perniagaannya turut rosak.

Katanya, akibat kejadian itu, dia kerugian lebih RM15,000.

"Malah, sebahagian bumbung 'bergulung' itu turut menyebabkan premis basah dimasuki air hujan.

"Syukur kerana 400 biji roti yang baru siap dimasak tidak basah terkena air hujan dalam ribut," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Changlun Zainol Abidin Mohamad berkata, dia sempat meninjau beberapa rumah penduduk yang terjejas dalam kejadian itu dan bersedia membantu membaiki bumbung yang mengalami kerosakan kecil.

Katanya, bagi penduduk yang mengalami kerosakan yang agak besar, beliau akan membantu dengan mendapatkan bantuan daripada agensi berkaitan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 3:57 PM