FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Nurul Fatihah Sulaini


Setiu: Wanita mengalami kerugian RM148,200 akibat terpedaya dengan aktiviti penipuan Love Scam seorang lelaki yang menyamar sebagai juruterbang.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, mangsa berusia 51 tahun mengenali lelaki berkenaan menerusi aplikasi Facebook pada awal bulan ini.

Menurutnya, berdasarkan keterangan, pengadu melayari Facebook dan menerusi mesej daripada individu menggunakan profil bernama Azli Ahmad.

"Lelaki berkenaan menggunakan gambar seorang juruterbang dan pengadu berhubung melalui talian WhatsApp yang diberikan untuk berkenalan lebih rapat.

"Apabila saling mengenali, suspek menawarkan penghantaran bungkusan hadiah seperti beg tangan, jam tangan, kasut dan duit bernilai USD10,000 untuk disedekahkan kepada anak yatim," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zain berkata, bungkusan berkenaan dihantar sebagai tanda persahabatan antara mereka.

"Pada 14 Jun lalu, mangsa dihubungi oleh seorang individu mengaku sebagai ejen penghantaran menyatakan terdapat masalah pada bungkusan yang dihantar kepada mangsa.

"Ejen itu meminta mangsa membuat bayaran sebagai bayaran duti import dan kos penghantaran bagi melepaskan bungkusan terbabit," katanya.

Katanya, bermula dari 14 Jun hingga 22 Jun lalu, mangsa membuat sebanyak 23 transaksi bayaran kepada akaun bank berlainan dengan jumlah RM148,200.

"Pengadu juga diugut untuk membuat bayaran yang mana individu berkenaan menyatakan mangsa terbabit dengan pelbagai aktiviti jenayah dan akan diambil tindakan sekiranya tidak membuat bayaran.

"Akibat berasa takut, mangsa mengikut segala arahan sehingga menyedari mengalami kerugian dan membuat laporan polis," katanya.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 3:53 PM