YU Man (kanan) bersama Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Taman Negeri Pahang (PTNP), Zainal Abidin Othman (kiri) dan Ketua Pusat Penyelidikan Tasik Chini UKM, Mohd Shazrul Fazry Sa’ariwijaya (kanan) ketika melewat Pusat Penyelidikan Tasik Chini UKM selepas merasmikan Penutup Program Libat Urus Penyediaan Pembangunan Pelan Pengurusan Tasik Chini Rizab Biofera. FOTO Luqman Hakim Zubir

Asrol Awang

Pekan: Tasik Chini yang terkenal dengan keindahan tasik semulajadi sedia menerima kehadiran lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri Leong Yu Man berkata, kegemilangan Tasik Chini mampu dikembalikan sebaik pelaksanaan pelan pembangunan Tasik Chini dijangka siap pada Oktober depan.

Bagaimanapun, katanya, tumpuan utama pelancongan di Tasik Chini kini lebih kepada pakej pelancongan berasaskan pendidikan (edu-tourism).

"Setakat ini, Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) menawarkan pakej edu-tourism terutama membabitkan penyertaan pelajar di sekolah dan universiti.

"Kita menggalakkan pihak universiti dan sekolah mengadakan program di Tasik Chini untuk belajar mengenai alam sekitar dan keunikan yang ada di tasik ini," katanya.

Yu Man berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Penutup Program Libat Urus:Penyediaan Pembangunan Pelan Pengurusan Tasik Chini Rizab Biofera di PPTC Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Chini, di sini, hari ini.

Program anjuran PPTC itu disertai wakil 18 agensi dan empat perkampungan Orang Asli sekitar Tasik Chini dalam usaha mengembalikan kegemilangan Tasik Chini.

Beliau berkata, kerajaan negeri prihatin dan sentiasa mengambil perhatian serius untuk memastikan destinasi pelancongan Tasik Chini kembali mendapat tempat di kalangan pelancong dari dalam dan luar negara.

Katanya, apabila pelancongan Tasik Chini kembali rancak, ia akan membantu penduduk setempat, khususnya masyarakat Orang Asli menjana pendapatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 3:49 PM