Zahri Samingon bersama Pengarah Urusan (Malaysia&Singapore) Uni-Charm Corporation Sdn Bhd, Toru Fujita bergambar bersama pemenang yang menyertai program gotong royong selepas merasmikan program Kolaborasi Uni-Charm Mamypoko bersama MBPJ dalam usaha pencegahan denggi dan gotong royong membersihkan dan menangkap jentik jentik di lokasi panas Pangsapuri Medan 32, Taman Medan. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Zahri Samingon bersama Pengarah Urusan (Malaysia&Singapore) Uni-Charm Corporation Sdn Bhd, Toru Fujita bergambar bersama pemenang yang menyertai program gotong royong selepas merasmikan program Kolaborasi Uni-Charm Mamypoko bersama MBPJ dalam usaha pencegahan denggi dan gotong royong membersihkan dan menangkap jentik jentik di lokasi panas Pangsapuri Medan 32, Taman Medan. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Redzuan Muharam


Petaling Jaya: Daerah Petaling menyumbang 30 peratus angka kes demam denggi di negara ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon berkata, keadaan itu agak membimbangkan dan sebanyak 134 kes demam denggi direkodkan di bandar ini bagi minggu ke-24 yang bermula 9 hingga 15 Jun lalu.

Beliau berkata, angka itu menunjukkan penurunan lima peratus dengan 141 kes pada minggu sebelumnya namun menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 3,838 tahun ini.

Manakala, terdapat 74 lokaliti wabak dan 15 lokaliti wabak hotspot.

"Kes demam denggi di bandar ini meningkat iaitu 1,458 kes pada 2021 hingga 5,641 kes tahun lalu.

"Kenaikan itu adalah sebanyak 286 peratus dan setakat ini, jumlah kes daftar di kawasan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) adalah 3,703 berbanding 2,567 dalam tempoh sama tahun lalu.

"Kesimpulannya, kes denggi di Petaling Jaya dan daerah Petaling yang turut merangkumi kawasan di bawah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memang tinggi. Kalau berjaya turunkan (kes), maka akan turunlah kes denggi di Malaysia, " katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penutup pertandingan mengumpul jentik-jentik dan gotong-royong di Flat Taman Medan 32, di Dewan Serbaguna Jalan Medan 12, PJS 3, Taman Medan, di sini, hari ini.

Program itu adalah anjuran MamyPoko, jenama lampin pakai buang bayi terkemuka di negara ini dengan kerjasama MBPJ.

Dalam pada itu, Mohamad Zahri berkata, Flat Taman Medan adalah kawasan hotspot dan merekodkan 22 kes dalam tempoh 55 hari dengan wabak dijangka tamat esok.

"Jadi, program gotong-royong itu dianjurkan bersempena sambutan Bulan Kesedaran Denggi 2024 pada 15 Jun lalu, Hari Denggi Asean dan Ulang Tahun Bandaraya Petaling Jaya ke-18.

"Tujuannya adalah memupuk kesedaran orang awam mengenai bahaya denggi terutamanya kanak-kanak.

"Saya nasihatkan orang ramai untuk mengambil masa 10 minit seminggu bagi aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan nyamuk Aedes dalam serta luar rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 3:47 PM