GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Padah memiliki dua laras senapang buatan sendiri menyebabkan seorang buruh ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Pos Blau, Gua Musang, semalam.

Lelaki berusia 41 tahun yang berasal dari Kota Bharu ditahan pada 4 pagi oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dalam operasi itu, dua laras senapang buatan sendiri, satu botol cecair dipercayai hidrokarbon (spirit) serta 15 biji guli milik suspek ditemui di dalam sebuah bilik.

"Pemeriksaan lanjut ke atas kotak rokok menjumpai tiub straw lutsinar berisi enam biji pil dipercayai pil kuda," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Beliau berkata, lelaki yang mempunyai lima rekod lampau termasuk dua dalam kes dadah dibawa ke IPD Gua Musang untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, suspek direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga Selasa ini untuk siasatan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Katanya, hasil siasatan mendapati lelaki itu memiliki senapang buatan sendiri untuk memburu haiwan di hutan termasuk seladang, rusa dan sebagainya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 3:44 PM