Penduduk kampung memegang kain rentang. FOTO MANIMARAN
Penduduk kampung memegang kain rentang. FOTO MANIMARAN
Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Sepuluh keluarga yang mendiami Kampung Batu Baru Menglembu Timur, Menglembu, di sini, terpaksa berdepan masalah kemudahan bekalan air paip serta ketiadaan kemudahan asas lain termasuk jalan berturap dan saliran longkang sejak enam tahun lalu.

Wakil penduduk, P Bala, 65, berkata, kawasan penempatan itu pada asalnya adalah penempatan setinggan namun ia diiktiraf sebagai kampung kekal sejak Julai 2018 dengan dipecahkan kepada 80 lot bagi pembinaan rumah.

Katanya, walau sudah enam tahun keluar dari kategori setinggan, namun masalah kemudahan asas seperti air terpaksa dilalui penduduk susulan daripada beberapa struktur haram yang dibina di atas rizab jalan hingga menyebabkan jalan berturap ke penempatan itu tidak dapat dibina.

Beliau berkata, pembinaan struktur haram berupa rumah serta sebuah rumah ibadat bukan Islam, menghalang daripada pembinaan jalan keluar-masuk kampung itu, seterusnya turut menjejaskan kerja sambungan paip serta longkang saliran kampung itu.

Kata Bala, ketika ini, penduduk terpaksa berdepan situasi tekanan air sangat perlahan apabila sebuah meter saliran air yang dipasang sejauh mencecah tiga kilometer daripada rumah mereka, perlu dikongsi bersama antara tiga rumah.

"Sudah 25 tahun saya menetap di sini sejak kawasan ini setinggan, sebelum mendapat lot pada Julai 2018. Masalah yang membelenggu disebabkan oleh apabila tiada jalan kerana terhalang oleh struktur haram di atas rizab jalan maka kesulitan juga untuk bawa meter air dekat kawasan rumah.

"Disebabkan struktur haram terbabit, meter air terpaksa dipasang sangat jauh mencecah tiga kilometer dari rumah, selain satu meter air perlu dikongsi bersama tiga rumah yang mengakibatkan tekanan air sangat rendah, khususnya ketika waktu puncak.

"Di kampung ini sekarang, ada 10 rumah penduduk dengan ketiadaan jalan keluar masuk kampung.

"Jika masalah kemudahan asas seperti ini tidak dapat diselesaikan, bagaimana dengan nasib pemilik 70 lot lagi di sini yang masih kosong? Adakah selamanya 70 lot itu akan kosong selagi kemudahan asas di kampung ini bermasalah," katanya ditemui, hari ini.

Perkara sama diakui seorang lagi penduduk, Mohd Rosdi Abu Bakar, 53, yang berkata, pemasangan meter air yang perlu dikongsi antara rumahnya bersama dua lagi rumah lain, sering menimbulkan masalah tekanan air rendah, malah dia perlu berbelanja lebih bagi kos penyambungan.

"Kos untuk pemasangan meter air yang kedudukannya terlalu jauh dari rumah berjumlah RM6,000 berbanding jika meter dipasang depan rumah iaitu sekitar RM1,000. Sudahlah mahal namun tekanan air pula amat perlahan," katanya.

Kata Rosdi, susulan ketiadaan jalan keluar masuk, penduduk terpaksa menggunakan jalan tidak berturap dalam kawasan pencawang elektrik bervoltan tinggi di bawah rizab Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang secara jelas merisikokan keselamatan.

Menurutnya, permohonan pembukaan jalan keluar masuk kampung itu pernah diusulkan beberapa kali sebelum ini, antaranya kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) selain kepada Menteri Besar serta EXCO kerajaan negeri yang berkaitan sejak Ogos tahun lalu, namun sehingga kini, selepas menghampiri setahun, masalah itu masih tidak bernoktah.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 3:10 PM