MANGSA diberi bantuan CPR sebelum disahkan meninggal dunia. FOTO Ihsan Pembaca
MANGSA diberi bantuan CPR sebelum disahkan meninggal dunia. FOTO Ihsan Pembaca
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Kegembiraan sekumpulan pelancong China yang melakukan aktiviti menyelam di Pulau Memutik, Pulau Gaya, di sini, berakhir tragedi apabila seorang daripada lemas, petang hari ini.

Dalam kejadian jam 2.20 petang itu, mangsa berusia 25 tahun bersama tujuh individu termasuk jurulatih selam sedang menyelam di sekitar pantai pulau berkenaan.

Sebaik selesai menyelam, mereka kembali ke pantai namun mangsa masih belum kembali ke pantai.

Selepas itu, dua kakitangan di pulau berkenaan membawa mangsa ke pantai dan memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) dan disahkan meninggal dunia oleh doktor pada jam 4.10 petang.

"Siasatan pegawai penyiasat kes ini mendapati tiada unsur jenayah kerana mangsa dipercayai mati lemas ketika aktiviti menyelam.

"Bedah siasat oleh HQEI akan dibuat bagi mengenal pasti punca kematian," katanya.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 11:46 PM