ANWAR, Abang Johari dan Douglas Uggah Embas ketika merasmikan Majlis Makan Malam Sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2024. FOTO Nadim Bokhari
ANWAR, Abang Johari dan Douglas Uggah Embas ketika merasmikan Majlis Makan Malam Sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2024. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi


Kuching : Kerajaan Persekutuan mengecualikan Sabah dan Sarawak daripada penyasaran subsidi diesel kerana memahami bahan api itu antara keperluan utama rakyat dua wilayah berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, berbanding Semenanjung, diesel digunakan secara meluas di Sabah dan Sarawak.

Anwar berkata, dengan penjelasan itu beliau berharap pengkritik akan memahami bahawa keputusannya itu tidak dipengaruhi oleh tekanan pemimpin Sabah dan Sarawak.

Malah katanya, penyasaran subsidi diesel mungkin bukan sahaja ditangguhkan malah ia sukar dilaksanakan di dua wilayah itu.

"Setiap bot setiap kenderaan di atas jalan raya memerlukan kenderaan diesel yang tinggi, maka kita tangguhkan penyasarannya di Sabah dan Sarawak.

"Malah ada juga kemungkinan ia sukar dilaksanakan di Sabah dan Sarawak kerana terlalu ramai yang menggunakan diesel," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2024, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, di sini, malam ini.

Turut hadir, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan isteri, Puan Sri Juma'ani Tuanku Bujang serta dua Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Anwar berkata, keputusan kerajaan itu mencetus kontroversi, namun masyarakat harus mengakui penggunaan diesel untuk kenderaan awal tidak meluas di Semenanjung.

"Kalau untuk bas sekolah kita beri subsidi, untuk nelayan kita bantu, pekebun kecil pun kita bantu, jadi tidak terkesan," katanya.

Menurutnya, langkah kerajaan menarik subsidi elektrik bagi golongan kaya dan syarikat besar awal tahun ini juga sudah memberi kesan positif.

"Penarikan subsidi itu membabitkan 15 peratus golongan tertinggi manakala 85 peratus rakyat di Semenanjung masih kekal me dapat subsidi.

"Dengan langkah itu kita dapat menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM4.5 bilion setahun," katanya.

Sementara itu, dalam maklum balas terhadap langkah kerajaan Sarawak mendahulukan peruntukan sebanyak RM200 juta bagi melaksanakan projek menaik taraf fasiliti kesihatan dan pendidikan daif di luar bandar, Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan akan segera membayarnya semula.

"Hari Isnin ini saya akan arah Kementerian Kewangan untuk membayar balik RM100 juta segera.

"Ia supaya wang dapat dibelanjakan tanpa masalah. Kalau tidak tiap kali jumpa Premier akan tanya bila nak bayar hutang, jadi saya tak mahu saya begitu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 11:31 PM