NURUL Anisa dan suami, Hafizh Khan Amiruddin Khan membungkus tempahan pelanggan. FOTO Aswadi Alias
NURUL Anisa dan suami, Hafizh Khan Amiruddin Khan membungkus tempahan pelanggan. FOTO Aswadi Alias
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Hanya kerana pernah membuat hebahan mengenai jualan amal dijalankan, Nurul Anisa Mohd Razali dan suami, Hafizh Khan Amiruddin Khan pernah dituduh 'scammer' (penipu) yang melakukannya untuk cepat kaya.

Hakikatnya, tidak pernah terlintas untuk mereka menipu orang lain kerana mahu mencari rezeki halal dengan dengan menjual serunding demi membesarkan tiga anak perempuan berusia lima, enam dan lapan tahun.

Menurut Nurul Anisa, 30, dia dan suami juga tidak menggunakan status asnaf sebagai alasan untuk meminta-minta malah hantaran dimuat naik sebelum ini sekadar ikhtiar dengan harapan ada yang membeli serunding yang dijualnya.

Bercerita lanjut, Nurul Anisa berkata, kehidupannya dan suami dalam keadaan baik sepanjang tempoh pandemik Covid-19 iaitu pada 2020 hingga 2021 kerana menjalankan perniagaan secara dalam talian.

Katanya, ketika itu, mereka dapat menggunakan sebahagian hasil jualan bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik menerusi agihan barangan keperluan.

"Sampai satu tahap, suami bantu pinjamkan wang kepada beberapa individu terdekat dengannya namun dunia ibarat roda apabila kini, kami pula menjadi asnaf.

"Semua berlaku akibat masalah dalaman keluarga yang menyebabkan kami tak dapat fokus dengan kerja hingga akhirnya hilang sumber pendapatan.

"Masalah berlaku sejak awal 2022 dan lama kelamaan melarat hingga kami menanggung tunggakan rumah waktu menyewa di rumah lama dekat Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor," katanya ketika ditemui Harian Metro di sini, hari ini.

Demi melangsaikan hutang dan kelangsungan hidup, Nurul Anisa berkata, dia dan suami terpaksa menjual peralatan dan perkakas yang ada di rumah untuk mendapatkan wang.

"Kami pernah jual barang rumah seperti televisyen dan mainan anak kerana nak bayar sebahagian tunggakan sewa rumah.

"Sedih juga bila ada orang mengatakan kami menjaja kisah sedih dan tuduh menjadi 'scammer' untuk dapatkan duit.

"Sedangkan, tak pernah pun kami tak hantar serunding dipesan pelanggan daripada awal berniaga hingga kini.

"Jika fikir logik, sudah pasti kami hidup senang jika 'makan' duit orang tapi tidak malah sumbangan diterima pun sebenarnya digunakan untuk buat pusingan berniaga," katanya yang bersyukur kerana anaknya faham keadaannya dan suami walaupun masih kecil.

Sementara itu, suaminya, Hafizh Khan , 34, berkata, dia pernah terfikir untuk tidak menghantar anaknya ke sekolah pada tahun ini akibat kesempitan hidup dialami.

"Saya fikir nak berniaga saja tepi jalan di sekitar Pertama Kompleks kerana Ramadan lalu pun ada menjual di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR).

"Tapi fikir anak pun berhak dapat pendidikan sempurna dan rezeki kami sekeluarga apabila bertemu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar di satu majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri dua bulan lalu.

"Daripada situ, kisah kami mendapat perhatian dan Alhamdulillah, kami baru berpindah ke sini (rumah didiami) dengan RM700 daripada sewa keseluruhan rumah dibiayai oleh Majlis Agama Islam Persekutuan (MAIWP) selama setahun.

"Saya pun baru selesaikan urusan pertukaran sekolah anak dan kini dalam fasa membina hidup baru bersama isteri," katanya.

Menurut Hafizh, dia akan terus berusaha mencari rezeki dan berharap dapat keluar daripada status asnaf satu hari nanti.

"Saya dan isteri tak malu namun bersyukur kerana berada dalam status asnaf, sekurang-kurangnya dapat bantuan bagi meringankan beban.

"Tapi jika ada rezeki, kami pun mahu kehidupan lebih baik. Saya pun sudah pasang niat untuk bantu asnaf sekiranya kehidupan saya kehidupan kami lebih baik selepas ini," katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu atau membeli serunding jualan Nurul Anisa dan suami, Hafizh Khan boleh menghubungi mereka di talian 013-5870142.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 8:29 PM