GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Samadi Ahmad


Putrajaya: Polis menahan seorang lelaki dipercayai terbabit jenayah ragut barangan berharga milik seorang wanita warga China di Southville City di Sepang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, lelaki berusia 33 tahun itu ditahan di Kampung Jenderam Hilir di sini, kira-kira jam 4 petang semalam susulan laporan diterima.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan seorang lelaki yang merakam kejadian ragut itu di kawasan kediaman berhampiran Southville City kira-kira jam 10.45 pagi semalam.

"Suspek adalah seorang penganggur dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Turut dirampas adalah motosikal digunakan dalam kejadian.

"Suspek ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 393 kanun keseksaan," katanya tadi.

Wan Kamarul meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan tidak berkongsi berita yang tidak benar mengenai kejadian itu di media sosial.

Difahamkan dalam kejadian itu, seorang lelaki menaiki motosikal dikesan cuba meragut barangan berharga mangsa yang diletakkan di tepi jalan.

Namun, cubaan ragut itu tidak berhasil dan suspek kemudian melarikan diri, tetapi kejadian itu sempat dirakam orang awam, malah nombor pendaftaran motosikal suspek juga berjaya direkodkan dalam video berdurasi 28 saat yang tular di media sosial TikTok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 4:17 PM