Abang Johari Tun Openg, merasmikan Majlis Anugerah Pendidikan Sarawak Tahun 2024 dan menyampaikan Anugerah Pendidikan Sarawak dan Tokoh Guru Sarawak kepada pemenang di Dewan Utama CIDB Kuching. FOTO NADIM BOKHARI
Abang Johari Tun Openg, merasmikan Majlis Anugerah Pendidikan Sarawak Tahun 2024 dan menyampaikan Anugerah Pendidikan Sarawak dan Tokoh Guru Sarawak kepada pemenang di Dewan Utama CIDB Kuching. FOTO NADIM BOKHARI
Mohd Roji Kawi


Kuching: Kejayaan mengubah corak pemikiran ibu bapa di kawasan pedalaman supaya mengutamakan pendidikan anak-anak dianggap pencapaian paling besar bagi Tokoh Guru Sarawak 2024, Jaul Bunyau.

Jaul, 61, yang bersara wajib pada Julai tahun lalu berkata, ketika mula diamanahkan berkhidmat di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai di pedalaman Limbang pada 1998, sekolah itu bukan saja fizikalnya berkeadaan daif.

Malah katanya, pencapaian murid di belantara itu amat menyedihkan dan beliau mengenal pasti puncanya ialah pemikiran ibu bapa yang tidak mementingkan pendidikan anak-anak mereka.

Justeru katanya, beliau mencabar ibu bapa agar memastikan setiap keluarga di kampung itu mempunyai sekurang-kurang seorang graduan.

"Ketika saya melontarkan cabaran itu, ia dianggap idea gila dan ramai ibu bapa menganggap ianya hanya sia-sia.

"Tetapi saya tidak berputus dan menggalakkan murid mencapai kejayaan dalam akademik dan pada masa yang sama saya terus menerus menanam keyakinan kepada ibu bapa agar mengutamakan pendidikan kerana hanya itu yang akan mengubah kehidupan mereka," katanya.

Jaul berkata demikian selepas beliau menerima Anugerah Tokoh Guru Sarawak 2024 yang disampaikan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg pada Majlis Anugerah Pendidikan Sarawak 2024, di sini, hari ini.

Jaul berkata, selepas beberapa tahun menggalakkan murid mencapai kejayaan, ada antara mereka berjaya memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) dan berjaya mendapat pekerjaan yang baik selepas tamat pengajian.

"Melihat kejayaan yang dicapai murid itu, minda ibu bapa lain mula terbuka dan menyedari kepentingan pendidikan.

"Akhirnya, kini hampir semua keluarga di Ulu Lubai mempunyai anak bergelar graduan, bukan seorang malah ada yang sampai tiga anak berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi," katanya.

Jaul berkata, kejayaan mengubah pemikiran ibu bapa itu mengatasi semua pencapaian cemerlang SK Ulu Lubai yang diiktiraf Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Sejak saya diamanahkan mengetuai sekolah itu pada 1998 sehinggalah bersara tahun lalu, SK Ulu Lubai berjaya meraih sebanyak 234 anugerah dengan 64 daripadanya adalah anugerah di peringkat antarabangsa.

"Saya puas melihat kejayaan sekolah itu dan lebih bermakna lagi apabila ibu bapa di Ulu Lubai kini paling mengutamakan pendidikan anak-anak mereka," katanya.

Menurutnya, SK Ulu Lubai mencatatkan pencapaian akademik yang cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan 100 peratus lulus sejak 2006 menjadikannya sekolah terbaik di Sarawak.

Dari segi penarafan di peringkat kebangsaan, SK Ulu Lubai yang berada di kedudukan ke-54 pada 2009 melonjak ke tempat pertama pada tahun 2010.

Kecemerlangan SK Ulu Lubai turut diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila menerima Anugerah Amalan Pendidikan Terbaik Komanwel 2009 dan Anugerah Amalan Pendidikan Terbaik Antarabangsa UNESCO 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 4:10 PM