Peniaga minuman dan kacang, Mohd Sudirman Mohd Shukri, 48  membuat persediaan di gerainya ketika ditemui di Tapak Niaga Medan Selera Jawi  berhampiran Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Nibong Tebal. FOTO Nur Izzati Mohamad
Peniaga minuman dan kacang, Mohd Sudirman Mohd Shukri, 48  membuat persediaan di gerainya ketika ditemui di Tapak Niaga Medan Selera Jawi  berhampiran Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Nibong Tebal. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Hari penamaan dan kempen mana-mana pilihan raya dijadikan kesempatan buat sebilangan peniaga untuk menambah pendapatan melalui perniagaan yang diusahakan mereka.

Peniaga minuman dan kacang, Mohd Sudirman Mohd Shukri, 48, berkata dia yang berasal dari Alor Setar, Kedah sanggup memandu lebih 100 kilometer (km) ke Sungai Bakap dengan ditemani anaknya, Muhammad Danish Fakhrul ,15.

Katanya, dia akan berniaga setiap kali mengetahui mana-mana kawasan mengadakan pilihan raya.

"Boleh dikatakan setiap kali ada pilihan raya saya akan sampai walaupun jauh sekalipun. Macam baru-baru ini ketika PRK DUN Kuala Kubu Bharu di Kuala Selangor saya turut berniaga di sana kerana menganggap itu adalah peluang menambah pendapatan.

"Memang dah jadi rutin saya dan tidak akan melepaskannya apabila tahu saja ada pilihan raya (mana-mana kawasan), saya akan sampai," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd Sudirman membuat persiapan dengan anaknya membuka gerai kecil menjual air minuman dan kacang yang terletak tidak jauh dari Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.

Sementara itu, peniaga baju, Zaidi Ishak, 49, berkata, dia yang berasal dari Kuala Lumpur turut tidak mahu melepaskan peluang untuk turut berniaga.

"Saya memang menjadikan kempen-kempen pilihan raya untuk ambil kesempatan berniaga. Kini sudah seminggu saya berada di Sungai Bakap.

"Di sini (PRK Sungai Bakap) saya sasar jual baju termasuk 'vest', topi dan mafla sehingga RM100,000," katanya.

Katanya, sehingga hari ini baju yang terjual adalah sebanyak 500 helai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 3:52 PM