Ruwaida Md Zain


Pelabuhan Klang: Firma penerokaan dasar laut, Ocean Infinity akan mengambil kira semua penemuan baharu bagi meneruskan pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, isyarat yang dikesan oleh penyelidik British dikesan di Cape Leeuwin di Australia Barat adalah antara perkara yang diberikan perhatian.

"Jadi memang kita (kerajaan) ada perbincangan dengan syarikat Ocean Infinity dan mereka sudah buat kertas cadangan (proposal) kepada kita.

"Kita sedang menilai kertas cadangan itu dan selepas itu kertas cadangan perlu dibentangkan kepada kabinet sebelum kita boleh melantik mereka sebagai syarikat yang terlibat dalam operasi mencari ini.

"Jadi maklumat-maklumat baru ini sudah tentu akan diambil kira oleh pihak syarikat Ocean Infinity," katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan perasmian perjalanan dan persinggahan sulung kapal kontena, M.V. MTT Bintangor di Pulau Indah di sini, tadi.

Jelasnya, sebagai syarikat yang bertanggungjawab ataupun terbabit dalam misi pencarian berkenaan, pastinya mereka mempunyai teknologi khusus seperti kapal submarin untuk mengesan kapal terbang itu.

Media sebelum ini melaporkan, penyelidik Britain mengesan isyarat yang mungkin membawa kepada penemuan pesawat Malaysia Airlines MH370, yang hilang di Lautan Hindi sedekad lalu, menurut akhbar harian The Telegraph.

Isyarat itu dikesan di Cape Leeuwin di Australia Barat, satu daripada dua stesen hidrofon yang berada dalam puluhan minit bagi tempoh penerimaan isyarat masa perjalanan dari hubungan terakhir dengan radar pesawat.

Pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu dipercayai kehabisan minyak dan terhempas ke dalam lautan selepas melencong daripada perjalanan Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Walaupun pencarian meluas meliputi lebih 119,140 kilometer persegi, hanya 18 serpihan pesawat ditemui terdampar.

Penyelidik dari Wales dilaporkan mengambil isyarat enam saat menggunakan mikrofon bawah air, atau hidrofon, yang berpotensi membawa ke lokasi terakhir pesawat.

Tamat

#kw Anthony Loke, firma penerokaan dasar laut, Ocean Infinity, penemuan baharu, pencarian, pesawat, Malaysia Airlines MH370

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 3:16 PM