GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan bilik gerakan pilihan raya bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Bakap.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan bilik gerakan berkenaan beroperasi di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang dan di pejabat SPRM Cawangan Seberang Perai.

"Bilik gerakan ini beroperasi 24 jam hingga 6 Julai. Selain itu, orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang aduan rasuah dan salah guna kuasa melalui e-mel kepada [email protected] atau hubungi talian 04-2299262 sambungan 1107," menurut kenyataan itu.

SPRM turut mengingatkan kepada semua calon dan parti politik yang bertanding agar tidak melakukan aktiviti yang boleh melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya selaras dengan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

PRK Dun Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) iaitu bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

SPR menetapkan hari mengundi awal bagi PRK Dun Sungai Bakap pada 2 Julai ini, manakala 5 Julai ialah hari mengundi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 2:23 PM