Fahmi Fadzil.
Fahmi Fadzil.
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Mana-mana pihak yang mengeluarkan hantaran jelik dengan menyentuh isu berkaitan agama, bangsa dan Institusi Diraja (3R) meskipun ketika program siaran langsung di media sosial sepanjang kempen Pilihan Raya Kecik (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap turut akan berdepan tindakan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, ia bagi memastikan proses kempen selama 14 hari yang berlangsung sebelum hari pengundian pada 6 Julai ini berjalan lancar tanpa menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum.

Fahmi berkata, penyokong kedua-dua parti diminta menjaga adab sepanjang berkempen dan berkelakuan baik dengan tidak membuat hantaran kurang enak di media sosial.

"Ini termasuk dengan membuat hantaran di platform Facebook (FB) dan Tik Tok secara langsung yang ramai beranggapan kalau tinggalkan komen ia tidak akan ada kesan kepada mereka, tapi sebenarnya tidak.

"Di sini, kerisauan kita adalah orang yang menggunakan akaun palsu untuk cuba mengeruhkan keadaan dan mengeluarkan kenyataan yang tidak baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui di Pusat Penamaan Calon PRK DUN Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Jawi, di sini, hari ini.

Jelasnya, tindakan akan diambil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

"Kita nak maklumkan pemantauan ini berjalan dan sekiranya ada mana-mana pihak menggunakan platform media sosial termasuk sesi live (menyentuh isu 3R) pihak MCMC akan mengambil tindakan," katanya.

Terdahulu, media melaporkan Kementerian Komunikasi menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi membendung berita palsu di media sosial sempena PRK DUN Sungai Bakap.

Fahmi berkata, pemantauan platform berkenaan sememangnya dilaksanakan untuk menangani kenyataan tidak bertanggungjawab.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 2:20 PM