Nik Zaki Alhadi (kiri) dan salah seorang pembantunya menunjukkan arang tempurung yang sudah siap diproses untuk dijual kepada pelanggan ketika ditemui di bengkel pemprosesan arang di Kampung Bukit Tiu. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Nik Zaki Alhadi (kiri) dan salah seorang pembantunya menunjukkan arang tempurung yang sudah siap diproses untuk dijual kepada pelanggan ketika ditemui di bengkel pemprosesan arang di Kampung Bukit Tiu. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


Machang: Seorang lelaki sanggup berulang-alik sejauh 110 kilometer dengan memandu kereta dari Kota Bharu ke Bukit Tiu, Machang untuk memproses arang briket bagi memenuhi permintaan pelanggan di seluruh negeri.

Nik Zaki Alhadi Nik Mustapa, 32, berkata, sejak mengusahakan pembuatan arang sejak lebih setahun lalu, hampir setiap hari dia perlu berulang-alik dari rumahnya ke bengkel pemprosesan arang di Kampung Bukit Tiu.

Katanya, setiap bulan dia perlu memproses lebih satu tan arang bagi memenuhi permintaan pelanggan di seluruh negeri selain turut dijual menerusi laman sosial Facebook (FB) dan TikTok.

"Alhamdulillah, permintaan terhadap arang briket sentiasa ada, namun dalam sehari saya yang dibantu dua pekerja hanya dapat memproses di antara 150 hingga 250 kilogram arang," katanya ketika ditemui di bengkel pemprosesan arang di Kampung Bukit Tiu.

Dia berkata, kebiasaannya dia membeli bekalan tempurung kelapa di kedai santan sekitar Machang, Kuala Krai, Kota Bharu dan Pasir Puteh.

"Disebabkan kedudukan bengkel yang terletak di kawasan kejiranan, saya akan mengumpul kesemua tempurung kelapa yang diambil sebelum dihantar kepada seorang pembakar di Kandis, Bachok.

"Tempurung kelapa ini perlu dibakar di kawasan lapang bagi mengelak asap tebal yang dibimbangi berlaku pencemaran udara.

"Kebiasaannya, saya mengupah pembakar tempurung pada harga RM1 sekilogram dan maksimum penghantaran adalah sebanyak 200 kilogram seminggu," katanya.

Katanya, selepas mengambil tempurung kelapa itu yang siap dibakar itu, dia akan memprosesnya di bengkel dengan menggunakan mesin adunan khas untuk menghancurkan keseluruhan tempurung sehingga menjadi debu.

"Selepas itu, saya akan melarutkannya bersama air dan kanji bagi memastikan ia senang dibentuk menjadi arang briket.

"Proses pengeringan arang mengambil masa agak lama kerana ia dilakukan secara manual iaitu bergantung pada cuaca," katanya.

Nik Zaki Alhadi berkata, permintaan terhadap arang briket akan meningkat lebih dua kali ganda setiap kali Ramadan dan musim perayaan berbanding hari biasa.

"Walaupun terdapat pelbagai peralatan moden untuk memanggang, pasti akan ada permintaan terhadap arang dalam kalangan pengguna yang lebih gemarkan kaedah tradisional menggunakan bahan bakar semula jadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 11:45 AM