Nor Syazrina Muhamad Tahir dan Siti Norhidayah Mohd Yunus


Serdang: Kain Cindai yang dikatakan mampu berfungsi merawat luka pada zaman dahulu menjadi antara tarikan utama Muzium Warisan Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Kain sepanjang lima meter dianggarkan berusia 200 tahun yang diperolehi dari Kelantan itu antara salah satu koleksi alam Melayu yang dipamerkan di Muzium Warisan Melayu.

Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Prof Madya Dr Hazlina Abdul Halim berkata, kain Cindai bukan sekadar mempunyai manfaat tertentu untuk kegunaan di zaman lalu malah ia memaparkan kehalusan seni pembuatan.

"Ia sudah dihentikan pembuatannya namun mempunyai falsafahnya tersendiri.

"Kain itu dikatakan mampu berfungsi merawat luka dan mempunyai khasiat serat nanas yang mampu menahan luka.

"Seperti sejarah Hang Tuah yang menikam Hang Jebat, dikhabarkan, Hang Jebat meletakkan kain serat nanas di lukanya dan mampu menahan darah keluar selama seminggu," katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani plak Sedekad Penubuhan Muzium Warisan Melayu di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM, di sini, semalam.

Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menandatangani plak berkenaan.

Turut hadir, Naib Canselor UPM, Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah dan Felo Perunding ENTITI, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Datuk Prof Dr Abdul Mua'ti @ Zamri Ahmad.

Keberangkatan baginda bersempena dengan Jelajah Gagasan Rumpun Selangor Daerah Petaling 2024 yang bermula baru-baru ini.

Dalam lawatan kira-kira tiga jam itu, baginda berkenan meninjau Muzium Warisan Melayu sambil beramah mesra bersama 100 pelajar terdiri daripada pelbagai bidang.

Dr Hazlina berkata, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada baginda kerana mencemar duli untuk merasmikan program.

"Muzium kami menyajikan semua koleksi alam Melayu seperti manuskrip, tekstil, persenjataan dan pelbagai artifak lain.

"Muzium Warisan Melayu ini adalah satu-satunya muzium yang menempatkan koleksi alam Melayu di universiti dalam Malaysia," katanya.

Beliau berkata, muzium yang sudah beroperasi sejak 2014 itu bukan saja menyajikan warisan Melayu tetapi menekankan kehalusan seni Melayu dan kecerdikan nenek moyang dalam mencipta sesebuah seni atau barangan.

"Selain pelajar, kita juga membuka kepada orang awam untuk menikmati pameran di sini dengan harapan dapat berkongsi sejarah kepada semua melalui penggunaan bahasa mudah.

"Idea pembukaan muzium ini bukan saja untuk pameran tetapi ibarat 'makmal hidup' untuk pelajar yang ingin membuat kajian, jadi mereka tidak sekadar membaca buku saja," katanya.

Disamping muzium, pengunjung juga dapat merasai pengalaman menerokai rumah tradisional Melayu dari pelbagai negeri di Malaysia.

"Pembesar-pembesar lama (tuan rumah) mengambil kesempatan untuk melestarikan warisan Melayu dengan memberi pinjaman rumah atau kami membelinya daripada mereka untuk dipamerkan di sini.

"Daripada terbiar di kampung, lebih baik dijadikan sebagai bahan pameran untuk pengunjung terutamanya untuk generasi muda memahami sejarah asal-usul," katanya.

Dr Hazlina berkata, Muzium Warisan Melayu turut mengadakan kerjasama pelbagai muzium lain seperti Muzium Negara, Muzium Pahang serta Arkib Negara untuk mengembangkan lagi koleksi pameran.

"Kami harap dapat bekerjasama dengan muzium lain bagi memapar dan mengembangkan lagi sejarah penting negara kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 11:34 AM
RAJA Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melawat Muzium Warisan Melayu UPM sempena Program Gagasan Rumpun Selangor Daerah Petaling 2024. Turut serta Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah (tengah) dan Felo Perunding ENTITI, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Prof Datuk Dr Abdul Mua'ti @ Zamri Ahmad. FOTO Rohanis Shukri
RAJA Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melawat Muzium Warisan Melayu UPM sempena Program Gagasan Rumpun Selangor Daerah Petaling 2024. Turut serta Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah (tengah) dan Felo Perunding ENTITI, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Prof Datuk Dr Abdul Mua'ti @ Zamri Ahmad. FOTO Rohanis Shukri