Pasukan Maritim menjalankan operasi mencari empat nelayan dikhuatiri hilang. Gambar ihsan Maritim
Pasukan Maritim menjalankan operasi mencari empat nelayan dikhuatiri hilang. Gambar ihsan Maritim
Alias Abd Rani


Batu Pahat: Seorang nelayan ditemukan selamat, manakala empat lagi hilang selepas bot dinaiki terbalik kira-kira 6.8 batu nautika barat daya Tanjung Segenting di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi, bot terbabit dinaiki lima nelayan tempatan berusia antara 43 hingga 63 tahun, terbalik akibat dipukul ombak besar.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Komander Maritim Mohd Hanis Mohd Yunus berkata, setakat ini, hanya seorang mangsa berusia 43 tahun ditemukan selamat oleh nelayan tempatan.

Beliau berkata, terdahulu, pihaknya menerima aduan daripada orang awam memaklumkan bahawa terdapat bot nelayan tempatan tenggelam di perairan terbabit.

Menurutnya, sejurus menerima maklumat itu, MRSC Johor Bahru mengaktifkan Op Carilamat pada 9 pagi, dan Bot Penggalang 30 dari Zon Maritim Batu Pahat diatur gerak ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati bot nelayan itu kelihatan hampir tenggelam sepenuhnya.

Menurutnya lagi, seorang mangsa ditemukan dan diselamatkan oleh bot nelayan yang berada berhampiran dan lelaki itu diserahkan kepada Bot Penggalang 30 untuk dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat.

"Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk mendapatkan rawatan manakala, empat lagi kru bot nelayan yang masih belum ditemukan," katanya.

Mohd Hanis berkata, operasi pencarian kini diperluaskan dengan penambahan radius kawasan kepada 23 batu nautika persegi.

Selain APMM, operasi juga dibantu Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 10:22 AM