GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Ipoh: Polis menahan tiga lelaki kerana memiliki senjata berbahaya dan peralatan polis secara tidak sah dipercayai digunakan untuk kegiatan samun di Sungai Senam di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menahan sebuah Perodua Alza yang dalam keadaan mencurigakan selepas menerima maklumat orang awam pada 6.10 pagi.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas ketiga-tiga lelaki dan kenderaan itu menemukan senjata berbahaya dan peralatan polis yang dimiliki secara tidak sah.

"Dengan tertangkapnya kumpulan ini, pihak polis percaya menyelesaikan beberapa kes samun dan menyamar sebagai pegawai polis di daerah Ipoh," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Abang Zainal Abidin berkata, semakan rekod lampau pula mendapati kesemua lelaki terbabit mempunyai rekod kesalahan jenayah dan dadah.

Beliau berkata ketiga-tiga lelaki tempatan berumur antara 27 hingga 37 tahun itu akan ditahan reman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 89(a) Akta Polis 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 8:57 AM