GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Lumpur: Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Nenas terpaksa dihenti tugas susulan peningkatan warna dalam air terawat yang dikesan pada 7.30 malam tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan, henti tugas itu mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual kepada sebahagian kawasan di ibu negara.

Pada masa sama, syarikat itu sedang menyiasat punca kejadian.

Antara kawasan terjejas adalah Bukit Bintang, Bukit Ceylon, Chow Kit, Dang Wangi dan Capsquare, Hampshire Park, Hospital Kuala Lumpur - Faculty Health Science & Paediatric Institute, Imbi, Kampung Baru dan Kampung Datuk Keramat-Jalan Damai.

Turut terjejas Kuala Lumpur City Centre merangkumi Jalan Binjai, sebahagian Jalan Ampang, Tun Razak, Jalan P Ramlee, Sultan Ismail, Jalan Conlay, Jalan Stonor, Eaton, Kia Peng, Lorong Ampang, Jalan Raja Laut, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Pinang, Law Yew Swee, Jalan dan Lorong Perak Medan Tuanku.

Untuk Pudu pula, ia membabitkan Jalan Pudu, Bruneid dan Changkat Thambi Dollah, manakala Titiwangsa Sentral pula membabitkan Jalan Lumut, Chemur dan Datuk Haji Eusoff.

Air Selangor berkata, bantuan alternatif melalui lori tangki akan digerakkan kepada pengguna dengan keutamaan diberikan kepada premis kritikal.

"Kami sedang mengambil segala usaha bagi meminimumkan impak gangguan kepada pengguna yang terjejas.

"Pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com/ dan saluran komunikasi alternatif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 9:28 PM