PASUKAN SAR digerakkan bagi operasi mencari dan menyelamat dua lelaki hilang sejak Rabu lalu ketika mencari siput belitung di Sungai Tuntung, Pantai Remis. FOTO Ihsan Bomba
PASUKAN SAR digerakkan bagi operasi mencari dan menyelamat dua lelaki hilang sejak Rabu lalu ketika mencari siput belitung di Sungai Tuntung, Pantai Remis. FOTO Ihsan Bomba
Muhamad Lokman Khairi


Manjung: Dua lelaki dilaporkan hilang sejak Rabu lalu ketika mencari siput belitung di Sungai Tuntung, Pantai Remis, di sini.

Mangsa, Abdul Talib Harun, 55 dan rakannya, Azman Mat Jaab, 61, difahamkan keluar melakukan aktiviti itu pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, anak mangsa membuat laporan polis selepas bapanya tidak pulang dan gagal dihubungi selepas 24 jam.

Menurut beliau, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang kampung.

"Setakat jam 6 petang hari ini, kedua-dua mangsa yang hilang masih gagal dikesan dan tiada sebarang maklumat tepat (petunjuk) diperoleh," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, Unit Anjing Pengesan K9 turut dilibatkan membuat pencarian di Alor Sungai Pak Ya dan Alur Sungai Merah masing-masing dalam radius tiga kilometer dengan dipandu oleh orang awam yang mahir dengan kawasan terbabit.

"Selain itu, komander operasi turut mengarahkan sepasukan anggota bomba melaksanakan pencarian di Alur Sungai Besar menuju ke Alur Sungai Merah.

"Bagaimanapun, mangsa belum dijumpai dan operasi akan disambung semula jam 8.30 pagi, esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 7:57 PM