DATUK Seri Ramli Mohammed Yoosup. FOTO Amirudin Sahib.
DATUK Seri Ramli Mohammed Yoosup. FOTO Amirudin Sahib.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Pindaan undang-undang di bawah Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah diperlukan bagi membanteras penjenayah siber yang kompleks serta jenayah komersial dengan lebih serius.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya sudah membentangkan beberapa cadangan berhubung perkara itu kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk dibentangkan di Parlimen.

"Perjumpaan dibuat pihak JSJK kepada Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) untuk kita menerangkan apa cadangan baharu.

"Secara peribadinya MDN (Menteri Dalam Negeri) ambil maklum dan mungkin akan dibentangkan di Parlimen mengenai penambahbaikan dalam Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah ini," katanya pada sidang media di Pejabat JSJK di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Beliau mengulas berhubung pengumuman kerajaan berhubung penambahan anggota JSJK dan cadangan memperhalusi undang-undang selaras dengan kemajuan teknologi.

Menurutnya, pindaan itu dijangka dapat menyeragamkan undang-undang dan pendakwaan berkait kes keldai akaun yang kian berleluasa.

"Ada beberapa Seksyen (Kanun Keseksaan) yang terlibat yang mungkin akan dibentangkan terutama membabitkan aspek keldai akaun.

"Sekarang undang-undang kita tidak mencukupi dan kebanyakan kes (keldai akaun) kita terpaksa menuduh di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil.

"Seksyen ini mempunyai pelbagai interpretasi dan pendapat (berlainan) dan ada juga yang keberatan untuk membawa kes seperti ini kerana tidak cukup 'ramuan', ia tidak seragam," katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan kerajaan akan memperhalusi pindaan terhadap KTJ dan Kanun Keseksaan bagi menangani kes jenayah siber yang semakin meningkat, seiring perkembangan teknologi dan kompleksiti jenayah berkenaan.

Saifuddin Nasution dilapor berkata, ia hasil perbincangan bersama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mencadangkan pindaan dilakukan terhadap undang-undang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 6:47 PM