MOHAMAD Suzrin (tengah) menyaksikan serah terima tugas Komander Briged Tengah PGA antara Zulkifli (kiri) dan Hakemal (kiri) di Kem PGA Cheras, hari ini.
MOHAMAD Suzrin (tengah) menyaksikan serah terima tugas Komander Briged Tengah PGA antara Zulkifli (kiri) dan Hakemal (kiri) di Kem PGA Cheras, hari ini.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) mencapai kejayaan terbaik sejak 2022 dengan rampasan mencecah RM160 juta di bawah pimpinan Senior Asisten Komisioner Zulkifli Jonit.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) (PGA) Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata, sepanjang tempoh dua tahun itu pasukan berkenaan turut menahan 1,948 orang atas pelbagai kesalahan.

"Briged Tengah juga menunjukkan prestasi cemerlang apabila banyak perancangan perolehan dan peruntukan perbelanjaan digunakan dengan berhemah serta berkualiti.

"Penyelenggaraan kuarters perumahan Briged Tengah dari dua unit kepada satu unit, kerja pembaikan sistem pendawaian, pembaikan siling dan bumbung, penggantian lampu limpah serta penyelenggaraan pos penugasan di semua batalion menunjukkan komitmen beliau memberi perkhidmatan baik kepada pasukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Komander/Pengerusi Perkep dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis di Briged Tengah PGA Cheras di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, beliau menyaksikan serah terima tugas antara Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari yang dilantik Komander Briged Tengah PGA menggantikan Zulkifli yang bersara wajib, hari ini.

Zulkifli, 60, sudah berkhidmat selama 40 tahun dan pernah bertugas di Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) sebelum menamatkan perkhidmatan sebagai Komander Briged Tengah PGA.

Penggantinya, Hakemal berusia 57 tahun berkhidmat sebagai Timbalan Komander Briged Tenggara PGA sebelum dilantik memegang jawatan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 6:41 PM