GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Timbalan Pendakwa Raya dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM250,0000 oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, hari ini, selepas didapati bersalah meminta suapan berjumlah RM50,000, sembilan tahun lalu.

Hakim Jason Juga membuat keputusan itu terhadap Kamalia Yahdi, 41, selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Jason dalam penghakimannya berkata pihak pembelaan didapati telah gagal mematahkan anggapan statutori mengikut Seksyen 50(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 di atas imbangan kebarangkalian terhadap satu pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a) akta yang sama.

"Selepas mendengar rayuan bagi pihak tertuduh, hujahan balas pihak pendakwaan, selain mempertimbangkan fakta kes, sifat kesalahan dan kepentingan awam, tertuduh dijatuhkan hukuman penjara selama satu tahun dan denda RM250,000 jika gagal membayar denda, tambahan hukuman penjara selama tempoh 24 bulan," katanya.

Prosiding hari ini dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Natrah Fareha Rahmat serta Siti Amirah Muhammad Ali manakala tertuduh diwakili peguam Arthur Borine.

Terdahulu, Arthur dalam rayuan mitigasinya memohon budi bicara mahkamah untuk mempertimbangkan keadaan tertuduh dengan memberikan hukuman minimum atau boleh mempertimbangkan Seksyen 294 Kanun Prosedur Jenayah dalam menjatuhkan hukuman kepada tertuduh.

Katanya, tertuduh sudah melalui pelbagai kesukaran sejak 2015 yang mana dia terpaksa berulang alik dari kampung halamannya di Sarawak ke Kota Kinabalu.

"Dalam kes ini, tuduhan terhadap anak guam adalah mengikut Seksyen 16(a) kerana meminta suapan, yang mana tertuduh masih tegas percaya bahawa dia adalah pihak yang tidak bersalah dalam hal ini," katanya yang memohon penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap tertuduh sementara rayuan di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah kemudiannya membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 5:10 PM