FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) memutuskan untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap yang diadakan pada 6 Julai depan.

Muda dalam satu kenyataan berkata, keputusan yang diambil itu selepas beberapa siri perbincangan bersama pimpinan pusat dan Pulau Pinang.

"Muda memutuskan untuk tidak bertanding dalam PRK Sungai Bakap dan menumpukan peranan kami sebagai kuasa ketiga dalam arena politik Malaysia," katanya.

Muda berkata, parti itu akan terus menjadi suara rakyat dalam dan luar Parlimen.

"Dengan memberi tekanan kepada isu kos sara hidup, peruntukan adil kepada semua ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, serta meneruskan reformasi institusi yang belum terlaksana," katanya.

Muda berkata, semua isu ini memerlukan perhatian dan tindakan segera demi kepentingan rakyat.

Selain menumpukan kepada isu rakyat, Muda memaklumkan sudah menyelesaikan fasa pertama agenda rejuvenasi parti itu.

"Seterusnya, Muda akan menumpukan kepada pelan agenda rejuvenasi fasa kedua dan gerak kerja politik khidmat di peringkat negeri dan Parlimen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 10:55 AM