GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Alias Abd Rani


Batu Pahat: Terpengaruh dengan tawaran yang menjanjikan pulangan lumayan menyebabkan seorang pengurus ladang menanggung kerugian lebih RM200,000 selepas diperdaya sindiket pelaburan mata wang digital yang tidak wujud.

Mangsa, lelaki berusia 54 tahun dilaporkan terjebak dengan skim pelaburan terbabit selepas berurusan dengan individu tidak dikenali melalui sebuah aplikasi mencari pasangan hidup, pada 4 Jun lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata komunikasi antara mangsa dan suspek berlarutan sehinggalah ke aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata, melalui perbualan itu, suspek menawarkan mangsa pelaburan mata wang digital selain turut disertakan pautan laman webnya.

"Mangsa kemudiannya memasukkan butiran peribadi serta e-mel dalam platform terbabit dan suspek pada masa sama turut menawarkan pelaburan yang menjanjikan keuntungan sebanyak 20 peratus daripada modal dilaburkan.

"Suspek memberitahu mangsa, modal minimum untuk menyertai pelaburan itu hanya RM500. Pada 8 dan 9 Jun lalu, mangsa berminat memasukkan wang RM10,500 sebagai modal pelaburan ke dalam dua akaun bank berbeza.

"Apabila membuat semakan, mangsa mendapati terdapat keuntungan sebanyak RM12,222 dalam akaun kripto miliknya," katanya dalam kenyataan.

Namun, Shahrulanuar berkata, suspek meminta mangsa membuat tambahan pelaburan sekiranya mahu meraih keuntungan lebih besar.

Katanya, dalam tempoh antara 8 hingga 14 Jun lalu, mangsa sudah membuat pemindahan wang ke dalam tiga akaun berbeza secara berperingkat berjumlah RM217,000.

"Ini kerana mangsa tertarik serta percaya dengan pelaburan itu namun selepas wang dimasukkan, mangsa mahu mengeluarkan hasil keuntungan mendapati akaunnya disekat.

"Suspek memberitahu mangsa perlu membayar lagi sejumlah RM225,000 bagi membuka sekatan akaunnya," katanya.

Kata Shahrulanuar lagi, mangsa tidak mengikuti arahan suspek kerana mula curiga dan berasa tertipu sebelum bertindak membuat laporan polis.

"Polis masih menjalankan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya melayari Facebook @jsjkpdrm dan @cybercrimealertrmp bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan jenayah komersial.

"Kami berharap orang ramai tidak berkongsi maklumat peribadi serta sentiasa mengenalpasti individu yang menelefon mereka, memandangkan penipu bukan sahaja menyamar, tapi juga mengambil masa untuk memperoleh kepercayaan mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 9:15 AM