SEBUAH daripada rumah yang terbakar di Taman Sri Putra. FOTO Ihsan Bomba.
SEBUAH daripada rumah yang terbakar di Taman Sri Putra. FOTO Ihsan Bomba.
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Enam rumah teres dua tingkat di Taman Sri Putra di sini, terbakar malam tadi.

Bagaimanapun tindakan pantas anggota bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke banyak lagi kediaman.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Ismail Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 8.16 malam dan sepasukan 10 anggota dikerah ke lokasi.

"Operasi turut dibantu sembilan anggota BBP Tikam Batu dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bakar Arang.

"Ketika tiba, didapati api sedang marak dengan sebuah rumah 85 peratus terbakar, sebuah lagi 70 peratus dan dua rumah musnah antara 60 dan 40 peratus.

"Dua lagi rumah masing-masing terbakar 30 dan lima peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail berkata, api berjaya dikawal pada 9.15 malam dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 12:06 AM