Muhamad Fadlee (kiri) meninjau harga sayur di Pasar Tani Kekal Chendering, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR
Muhamad Fadlee (kiri) meninjau harga sayur di Pasar Tani Kekal Chendering, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Peruncit sayur-sayuran tidak menaikkan harga jualan, walaupun berlaku kenaikan barangan komoditi itu di peringkat pemborong.

Tinjauan di Pasar Tani Kekal di sini, mendapati daripada 29 jenis sayur-sayuran hanya cili merah minyak meningkat harga daripada RM12 sekilogram (kg) kepada RM14 kg.

Tiada kenaikan berlaku kepada harga barangan komoditi lain, walaupun pemborong terutama dari Cameron Highlands mengenakan bayaran tambahan sebanyak RM200 berikutan penyasaran subsidi diesel berkuat kuasa 10 Jun lalu.

Peruncit sayur, Muhammad Saufi Abdul Sallam Zamri, 36, mengakui berlaku kenaikan harga antara RM1 dan RM3 setiap kg enam daripada 33 jenis sayur di peringkat pemborong.

Katanya, harga enam jenis sayur yang meningkat di peringkat pemborong adalah cili hijau RM10 kg, cili merah kulai RM14 kg, daun bawang RM14 kg, daun sup RM22 kg, sawi hijau RM8 kg dan terung panjang RM7 kg.

"Walaupun harga enam jenis sayur-sayuran itu meningkat, tetapi kita mengambil keputusan untuk tidak menaikkan harga jualan di peringkat runcit," katanya ketika ditemui hari ini.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Terengganu Muhamad Fadlee Hassan yang mengadakan tinjauan harga sayur di Pasar Tani Kekal Chendering tidak menafikan berlaku kenaikan enam daripada 33 jenis sayur-sayuran di peringkat pemborong disebabkan penyasaran subsidi diesel.

Menurutnya, kenaikan harga enam jenis sayur-sayuran itu juga berlaku berikutan pengeluaran berkurangan berbanding permintaan yang tinggi di pasaran.

"Kita akan memastikan semua peniaga dan peserta pasar tani di seluruh negeri tidak mengambil kesempatan menaikkan harga sayur dengan memberi alasan disebabkan penyasaran subsidi diesel," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 2:27 PM