ANTARA yang dilanda banjir susulan hujan lebat lebih tiga jam. FOTO ihsan pembaca
ANTARA yang dilanda banjir susulan hujan lebat lebih tiga jam. FOTO ihsan pembaca
Ahmad Hasbi


Seremban: Beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir susulan hujan lebat berterusan lebih tiga jam sejak awal pagi tadi.

Hujan lebat beserta angin kencang bermula 4.30 pagi itu menyebabkan banjir kilat di Kampung Blok C dan Kampung Ismail di Ampangan, beberapa kampung dan taman di Rahang, Kampung Paroi serta Kampung Panchor.

Penduduk Taman Happy, Arun Anthony, berkata, keadaan agak kecoh pagi tadi apabila ada rumah yang dimasuki air, namun ia tidak seteruk banjir pada April lalu.

"Hujan lebat selama dua jam dari jam 4.30 pagi ini mengakibatkan banjir lagi di Taman Happy dan kawasan sekitarnya. Banjir sebelum ini air naik separas lutut di dalam rumah.

"Ramai penduduk mengeluh barang rumah mereka rosak. Harap pihak kerajaan dapat mengambil tindakan boleh cegah banjir kerana kebanyakan yang tinggal di sini adalah golongan B40," katanya.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Seremban, Kapten (PA) Mohamad Ridzuan Mohamed Buniran berkata, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

"Selepas menerima maklumat, tiga pasukan digegaskan ke lokasi kejadian bagi operasi membantu penduduk dan pemantauan. Ketika tiba di lokasi, keadaan masih lagi hujan dan paras air dalam keadaan bahaya.

"Terdapat dua kereta tersangkut dalam air di Jalan Rahang, bagaimanapun mangsa dilaporkan diselamatkan tanpa sebarang kecederaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 12:49 PM