KEADAAN lori yang terjunam ke dalam lubang jalan mendap. FOTO Ihsan Polis
KEADAAN lori yang terjunam ke dalam lubang jalan mendap. FOTO Ihsan Polis
Asrol Awang


Pekan: Seorang lelaki maut selepas lori dipandu terjunam ke dalam lubang jalan mendap di Kilometer 73 Jalan Kuantan-Segamat, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 8.55 malam itu, Muhammad Farhan Dagang, 29, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Pekan Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, kemalangan itu membabitkan lori Hino yang membawa muatan generator elektrik dipercayai terbabas ketika dalam perjalanan dari arah Segamat, Johor menghala ke sini.

"Apabila tiba di tempat kejadian, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan terlanggar penghadang plastik sebelum terjunam masuk ke dalam lubang jalan mendap.

"Mangsa juga dipercayai tidak menyedari kawasan lencongan jambatan sementara di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 12:31 PM